HALAMAN SANTAI

Sabtu, 29 Mei 2021

Ya Allah Tajuddin berundurlah! Jangan malukan parti keramat masih jadi pengarah pilihan raya

AGENDA DAILY

Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Salawati Mat Basir berpendapat UMNO wajar mencari calon lain sebagai pengarah pilihan raya.

Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sepatutnya segera melepaskan jawatan Pengarah Pilihan Raya UMNO kerana disifatkan telah memalukan parti keramat Melayu itu, selain hilang kredibiliti susulan kontroversi ketika mengendalikan sidang media nahas dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) di ibu negara pada Selasa lalu.

Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Salawati Mat Basir berpandangan UMNO perlukan seorang pemimpin lain yang lebih berkualiti dan relevan untuk menjadi pengarah pilihan raya.

“Ya Allah tolonglah berundur. Imejnya telah habis (rosak), jadi bahan ‘troll’ rakyat lagi kita hendak kekalkan. Bagilah pemimpin lain. Kena pulihkan segera imej UMNO dengan cara apa sekalipun. Jangan ambil pemimpin yang sudah hilang kredibiliti,” katanya kepada Agenda Daily.

Malah beliau menyifatkan UMNO sepatutnya memecat Tajuddin sebagai pengarah pilihan raya parti itu dalam tempoh 24 jam.

“Iya beliau perlu berhenti serta-merta, sesegera mungkin,” katanya ketika menjawab soalan wartawan Agenda Daily sama ada wajar atau tidak Ahli Parlimen Pasir Salak itu meletak jawatan bagi mengelak nama baik UMNO tercemar kerana memiliki pemimpin yang memalukan parti.

Dr Salawati berkata, jika UMNO mengekalkan Tajuddin sebagai peneraju pilihan raya mereka, parti itu mungkin akan berhadapan dengan penolakan rakyat.

Beliau berkata, perwatakan dan kesombongan veteran UMNO ketika mengendalikan sidang media itu bakal memberi imej buruk kepada parti dan ia boleh dijadikan bahan propaganda pembangkang untuk menjatuhkan UMNO.

Dalam pada itu mengulas calon yang sesuai untuk mengantikan tempat Tajuddin, Salawati berkata mungkin calon yang lebih muda dan ada kewibawaan.

“Bagi pemimpin yang muda yang ada kualiti,” katanya.

Agenda Daily sebelum ini melaporkan akar umbi turut mendesak Tajuddin supaya berundur daripada menjadi pengarah pilihan raya UMNO kerana memalukan parti itu.

Majoriti tinjauan Agenda Daily dengan pemimpin akar umbi juga mendapati mereka mahu Tajuddin berundur dan parti perlu membuat keputusan dengan segera sekiranya mahu menyelamatkan UMNO daripada terus ditolak rakyat dalam pilihan raya nanti.

Baru-baru ini, Kementerian Kewangan memecat Tajuddin daripada jawatan Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) selepas tular tingkah laku tidak bersesuaian beliau dalam mengendalikan sidang media nahas dua tren LRT di ibu negara pada Selasa.

Selain tidak memakai pelitup muka, Tajuddin juga dituduh gagal dan tidak mempunyai perasaan sensitif atau empati terhadap mangsa tragedi LRT, sekali gus membuktikan beliau sama sekali tidak layak menduduki kerusi Pengerusi Prasarana.

Tajuddin dipanggil pihak polis dan disiasat kerana tidak memakai pelitup muka pada sidang media itu sebaliknya hanya memakai pelindung muka.

Media juga melaporkan beliau ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan dakwaan campur tangan dalam urusan Prasarana sehingga menimbulkan konflik kepentingan.

Tiada ulasan: