HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Mei 2021

‘Self-lockdown’: Pemuda PAS seru duduk rumah

HARAKAH DAILY

KUALA LUMPUR: Sempena kempen ‘self-lockdown‘ atau kawalan kendiri, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyeru rakyat khususnya anak muda supaya duduk di rumah sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang sedang berkuatkuasa ketika ini.

Ketuanya, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, kempen itu dibuat bagi memberi kesedaran kepada rakyat terutama golongan muda berkaitan pentingnya peranan mereka untuk duduk di rumah ketika negara masih lagi berdepan dengan pandemik Covid-19.

“Kita semua adalah frontliners, saya merayu kepada semua rakyat Malaysia khususnya anak muda untuk mengamalkan PKP kendiri atau ‘self-lockdown’ di rumah masing-masing.

“Jangan keluar rumah sekiranya tidak ada keperluan dan jika tidak perlu bekerja. Rancang urusan-urusan kita di luar rumah secara teratur dan minimumkan pergerakan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya, pada Isnin.

Mengulas lanjut, beliau yang juga merupakan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) berkata, kerajaan telah menggunakan pelbagai cara serta kaedah dalam mengharungi cabaran memerangi pandemik Covid-19 yang tidak pernah dihadapi sebelum ini.

Ujarnya, kerajaan terpaksa membuat keputusan yang tidak popular bagi mengimbangi di antara kepentingan ‘lives versus livelihood‘.

“Berdasarkan kepada data yang dikeluarkan oleh KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) serta saranan daripada KKM sendiri, saya rayu kepada semua rakyat Malaysia khususnya anak muda di seluruh negara untuk mematuhi PKP dan mengamalkan self-lockdown.

“Jangan keluar rumah sekiranya tidak ada keperluan dan jika tidak perlu berkerja. Rancang urusan-urusan kita di luar rumah secara teratur dan minimumkan pergerakan.

“Virus tidak akan merebak jika manusia tidak melakukan pergerakan. Yang penting, terus amalkan normal baharu seperti memakai pelitup muka, penjarakan satu meter dan patuhi SOP yang telah digariskan kerajaan.

“Saya percaya, perjuangan melawan Covid -19 bukan hanya perjuangan KKM semata-mata tetapi ianya mestilah diharungi secara bersama dengan penuh rasa tanggungjawab,” tambah beliau.

Semenentara itu, dalam perkembangan yang lain, beliau menyeru semua pihak untuk mendaftar serta mengambil suntikan vaksin bagi memutuskan penularan jangkitan Covid-19.

“Mengambil vaksinasi adalah salah satu usaha untuk memutuskan rangkaian Covid-19. Selepas berusaha, kita berdoa dan bertawakal kepada Allah.

“Percayalah pada janji Allah. Disebalik kesukaran itu pasti akan hadir kemudahan,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebooknya, semalam sambil memaklumkan dirinya sudah menerima suntikan vaksin AstraZeneca yang pertama di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, sebelum ini.

Seiring saranan itu, beliau turut berkongsi tips yang boleh dilakukan bagi persediaan sebelum menerima suntikan iaitu:

  • Datang awal 30 minit daripada waktu yang ditetapkan dalam ‘appointment’ MySejahtera/
  • Memakai pakaian dan kasut yang selesa
  • Pastikan bateri telefon bimbit penuh sebelum datang ke PPV
  • Pastikan telefon bimbit mempunyai data internet kerana proses selepas pendaftaran banyak menggunakannya.
  • Disaran membawa sebarang bentuk bacaan ringan seperti buku sementara menunggu giliran
  • Ambil gambar papan tanda yang menunjukkan keberadaan parkir kereta supaya tidak sesat. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: