HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 Mei 2021

Pesawat Israel, mana suara menteri Pas, UMNO? – Shazni

Wartawan MalaysiaGazette
saznimunir
Shazni Munir Ithnin

KUALA LUMPUR – Di mana menteri Pas dan UMNO dalam isu  lintasan pesawat Israel di ruang udara Malaysia ?

Itu persoalan Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Shazni Munir Ithnin ekoran pengakuan Kementerian Pengangkutan bahawa lintasan pesawat Israel di ruang udara Malaysia sememangnya dibenarkan oleh pihak kerajaan.

“Di mana menteri Pas dan UMNO? Tunduk kepada MCA kah?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Shazni yang juga Ketua Pemuda AMANAH Nasional juga menyifatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bermuka-muka dan kecaman terhadap Israel sekadar di mulut namun hakikatnya mereka rapat dan mesra dengan para pelobi normalisasi hubungan dengan Israel.

“Akibat telah terbiasa bermuka-muka itulah yang akhirnya tanpa rasa bersalah telah membenarkan pesawat Israel melalui ruang udara negara. Kalau pun mahu bersangka baik bahawa pesawat itu tidak mengancam keselamatan negara, tidakkah berwaspada dengan tidak membenarkan itu jauh lebih baik?

“Malah jika Indonesia pada 2017 dengan tegas boleh menghalang pesawat Israel melalui ruang udara mereka dengan beberapa perincian justifikasi, apakah ketika itu negara berkenaan bukan anggota ICAO? Tidakkah Muhyiddin dan para menterinya ini tahu betapa resahnya rakyat apabila mendapat tahu pesawat Israel dengan senang-lenangnya boleh melintas ke ruang udara negara, ketika beberapa hari sebelumnya rakyat Malaysia memberikan sokongan yang jitu kepada perjuangan rakyat Palestin?” soalnya.

Menurut Shazni, dalam hal penentangan terhadap negara haram Israel bukanlah terlalu kompleks sifatnya kerana cukup memaklumi bahawa ianya sebuah imperialisme yang wajar dilawan maka segala dasar dan polisi harus mengarah ke situ.

“Namun kalau itu pun gagal difahami, malah diberikan segala mak nenek justifikasi untuk berlembut pula akhirnya, amatlah malang keadannya bagi kerajaan yang gemar bermuka-muka ini,” jelasnya.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan: