HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 Mei 2021

Prasarana tamat perkhidmatan Tajuddin serta-merta

Athirah Huda Zalhe

Keputusan dipersetujui Menteri Kewangan dalam surat bertarikh hari ini

BANGI – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menamatkan perkhidmatan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif berkuat kuasa serta-merta.

Perkara itu dinyatakan dalam satu surat ditandatangani Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang dihantar kepada Tajuddin bertarikh 26 Mei dan tular di laman sosial, hari ini.

“Dimaklumkan bahawa Menteri Kewangan (Diperbadankan) telah bersetuju agar perkhidmatan YB Dato’ Sri sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad ditamatkan berkuat kuasa serta-merta.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas perkhidmatan dan sumbangan yang telah YB Dato’ Sri berikan kepada Prasarana sepanjang menjadi Pengerusi Bukan Eksekutif syarikat,” kata surat itu.             

Sebelum ini, Tajuddin menerima kritikan pelbagai pihak susulan sidang media berkaitan insiden kemalangan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) di laluan Kelana Jaya, Isnin lalu.

Dalam sidang media berkenaan, Tajuddin secara berjenaka memberitahu wartawan keadaan kemalangan dalam terowong itu adalah normal dengan hanya dua tren bersama, saling bercium.

Bukan hanya itu, tindak-tanduk Ahli Parlimen Pasir Salak berkenaan pada sidang media turut dikritik, malah tindakannya yang tidak memakai pelitup muka juga dipertikaikan.

Tiada ulasan: