HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 Mei 2021

Kenyataan Iswardy tidak mewakili parti - Fahmi

Astro Awani
Kenyataan Iswardy tidak mewakili parti - Fahmi
FAHMI: Parti juga telah memberi amaran tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk memecat beliau sekiranya beliau mengulangi perbuatan yang sama. -Gambar fail
 
KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat PKR mengesahkan Iswardy Morni yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini merupakan ahli parti itu.
 
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengarah Komunikasi Keadilan, Fahmi Fadzil berkata kenyataan Iswardy itu tidak mewakili pendirian parti yang sentiasa menjunjung serta mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu.
 
“Keadilan mengesahkan Iswardy adalah seorang anggota biasa parti berdaftar di cabang Petra Jaya, Sarawak dan tidak memegang apa-apa jawatan di dalam hierarki kepimpinan Keadilan Sarawak mahupun Pusat.
 
“Ucapan beliau di dalam video-video sebelum ini pernah dibangkit dan dibincang di dalam Biro Politik Keadilan, dan keputusan telah diambil seawal April lalu dengan memberi amaran keras kepada beliau.
 
"Parti juga telah memberi amaran tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk memecat beliau sekiranya beliau mengulangi perbuatan yang sama,” jelas Fahmi dalam kenyataan tersebut.
 
Bagaimanapun, jelasnya lagi, Parti Keadilan menunggu hasil siasatan Polis Diraja Malaysia untuk menentukan tindakan selanjutnya ke atas individu tersebut.
 
Pagi tadi Polis menahan Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak, Iswardy Morni bagi membantu siasatan berkait kenyataannya menerusi video di laman YouTube yang didakwa berbaur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
 
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Dev Kumar berkata Iswardy ditahan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman di kediamannya di Kajang, Selangor pada Sabtu malam.
 
Suspek direman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.

Tiada ulasan: