HALAMAN SANTAI

Isnin, 31 Mei 2021

Ramai yang layak jadi Peguam Negara, kata Zaid kepada Thomas

FMT Reporters
Zaid Ibrahim mengkritik kualiti yang ada pada bekas Peguam Negara Tommy Thomas.

PETALING JAYA: Bekas menteri Zaid Ibrahim membidas bekas Peguam Negara Tommy Thomas berhubung kenyataannya yang mendakwa Malaysia akan menyaksikan pelantikan orang bukan Melayu sebagai Peguam Negara pada masa akan datang.

Beliau berkata, ia mungkin boleh berlaku tetapi menjadi lebih sukar selepas apa yang terjadi kepada Thomas, Peguam Negara bukan Melayu pertama di negara ini.

Dalam wawancara bersama Astro Awani baru-baru ini, Thomas berkata tidak ada sebab mengapa orang bukan Melayu tidak boleh dilantik sebagai Peguam Negara jika Perdana Menteri hari ini ingin memilih orang yang terbaik dan paling layak menggalas peranan itu.

Zaid berkata, terdapat ramai peguam yang berwibawa di Jabatan Peguam Negara yang layak dan mampu menjadi Peguam Negara.

“Orang itu seharusnya tidak memihak dan tidak menganggap dirinya sebagai Peguam Negara bagi mana-mana parti memerintah. Dia sama ada lelaki atau perempuan mesti selalu ingat bahawa tanggungjawab berat menjadi seorang pendakwa raya.

“Ia akan membantu jika orang ini mempunyai kerendahan hati dan dapat bertutur dalam Bahasa Melayu dengan baik,” katanya di Facebook.

Beliau berkata, individu itu juga seharusnya menerima sebarang arahan daripada Perdana Menteri, jika perlu.

“Sentiasa mengutamakan Malaysia dan kepentingan rakyat sebagai satu perkara penting adalah sukar untuk dipatuhi oleh peguam yang mementingkan diri mereka sendiri.

“Sekiranya ini berlaku, saya harap orang itu tidak akan menunjukkan sifat kurang ajar dan sombong seperti Tommy,” katanya.

Zaid berkata, kata-kata Thomas menunjukkan penghinaan dan tidak sensitif terhadap orang Melayu.

“Kualiti yang paling sukar dicari dalam AG (Peguam Negara) yang baik adalah sikap tidak memihak, integriti, kejujuran dan tidak takut untuk mengatakan tidak kepada ‘arahan’ daripada Perdana Menteri. Adakah kita melihat sifat ini pada Tommy Thomas?,” soalnya.

Katanya, Thomas dipilih untuk jawatan itu kerana DAP menginginkan beliau sebagai Peguam Negara, bukan kerana dia yang terbaik.

Menurutnya, Thomas melobi untuk mendapatkan jawatan itu dengan menjalinkan persahabatan dengan pemimpin tertinggi DAP.

“Beliau malah menelefon saya dan membelikan saya thosai untuk sarapan di Dave’s Corner, Bangsar. Dia mahu bercakap dengan Dr Mahathir (Mohamad) untuk melantiknya sebagai AG. Saya katakan kepada beliau bahawa saya tidak rapat dengan Dr Mahathir,” katanya.

Zaid juga mendesak Thomas bersikap telus sepenuhnya mengenai apa yang berlaku semasa menjadi Peguam Negara.

“Menggugurkan tuduhan terhadap Lim Guan Eng dan tidak melakukan tindakan lebih lanjut pada video yang popular di Sandakan untuk melindungi menteri kanan sekarang adalah peristiwa bawah pengawasannya,” katanya.

Thomas berkhidmat sebagai Peguam Negara selama 20 bulan mulai Jun 2018. Beliau meletak jawatan sebelum tamat kontak dua tahunnya.

Tiada ulasan: