HALAMAN SANTAI

Isnin, 31 Mei 2021

Covid-19 mengganas: Zahid, Najib, blok pembangkang pun menggila

Tok Akhi

Virus Covid-19 semakin menggila di Malaysia. Pada Jumaat sahaja angka positif virus pembunuh itu sudah mencecah ke paras tertinggi harian sebanyak 8,290 kes baharu menjadikan kumulatif kes sebanyak 549,518.

Semalam juga 61 kematian direkodkan – suatu angka yang tidak pernah kita bayangkan sejak pandemik melanda negara awal tahun lalu. Sehingga Jumaat 28 Mei 2021 sebanyak 2,552 kematian dicatatkan di seluruh negara akibat Covid-19.

Kerajaan menerusi semua agensinya bertungkus lumus berusaha memerangi pandemik itu dengan pelbagai tindakan, penguatkuasaan, selain menyediakan pakej bantuan kepada rakyat yang terkesan.

Tapi sayangnya masih ada lagi duri dalam daging. Individu-individu yang melihat kepentingan diri dan politik melebihi kesakitan dan nyawa rakyat, terus memainkan sentimen kebencian terhadap kerajaan.

Kenyataan bersentimen Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Najib Razak dan beberapa ‘pemimpin tua’ UMNO ibarat sesi balas dendam kerana mereka jatuh daripada menerajui Malaysia. Sudah jatuh ditimpa tangga – mereka diheret pula ke muka pengadilan atas tuduhan jenayah, penyelewengan dan pecah amanah.

Disusuli pula rasa tidak puas hati ‘perdana menteri menunggu’, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana terlalu lama menjadi ‘PM tepi’ serta konco-konconya dalam Pakatan Harapan (PH). Maka bermulalah serangan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dalam usaha untuk melepaskan diri daripada semua tuduhan, mereka meminta simpati pemimpin kerajaan PH, tapi gagal kerana ketegasan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Demikian juga ‘merayu’ kepada kerajaan PN diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin, pun tidak dilayan – mahkamah… mahkamah punya hal…tak campur nak lepaskan seseorang.

Tunjuklah pula muka kasihan kepada rakyat untuk mendapat simpati. Gambar-gambar berdoa dalam masjid, di rumah, di pusat tahfiz dan berjubah, dijadikan imej baharu untuk menunjukkan ‘keislaman’ mereka lebih daripada orang Islam lain. Sekadar untuk meraih simpati!

Mendakwa tuduhan ke atas mereka bermotifkan politik. Maka dijajalah isu itu sambil mengepit gambar berdoa dan berjubah, sehingga meleret-leretlah kepada isu Covid-19 bagi menunjukkan kerajaan gagal menangani pandemik ini. Dengan menyatakan angka-angka baharu positif dan kematian, mereka mahu menjadi hero dan kembali ketengah gelanggang politik.

Tindakan tiga serangkai ‘Datuk Seri’ yang sering mengkritik kerajaan dilihat sebagai membalas 

dendam kerana cita-cita peribadi tidak tercapai.

Bukti ditunjukkan, hukuman penjara dan denda pun dijatuhkan, tapi mereka ini mukanya tebal. Malu apa bossku… Dan, dengan rasa tidak puas hati itulah tidur malam pun sudah memikirkan apa yang hendak ditulis dalam media sosial esok hari.

Katanya mata sakit dan penglihatan kabur. Sebenarnya tidak perlu mata terang pun untuk duduk dalam mahkamah. Hanya guna telinga sahaja untuk mendengar. Tapi tidak mengapa kerana dapat cuti sakit setelah menjalani pembedahan dan mata pula kabur.

Mata sahaja kabur, hati dan kepala otak tidak.

Bangun pagi, beberapa jam selepas solat Subuh, mulalah gatal tangan untuk mengutuk kerajaan. Mungkin ketika solat pun tak khusyuk kerana memikirkan apa ayat-ayat dan angka sesuai untuk mengutuk kerajaan. Bukan penulis menuduh, sekadar jangkaan.

Sudah-sudahlah! Peluang sudah diberikan untuk menerajui kerajaan. Harta dikumpul sudah jutaan. Rumah kecil menjadi istana. Buang rasa busuk hati. Terima ketentuan Allah SWT. Hakim yang menjatuhkan hukuman memiliki ilmu yang Allah berikan dan Allah juga mengilhamkan kepada mereka untuk membuat keputusan. Tak puas hati sila lawan ikut peraturan.

Kena ingat juga. Tak selalunya kita menang dan kalah. Menang dalam kes wang dan barang yang dirampas di Pavilion Residence. Tapi sebelum itu kan kalah dalam kes SRC International. Mana boleh sentiasa nak menang kan?

Biarlah orang lain pula menerajui kerajaan. Malah, kita melihat kerajaan sekarang bukan sahaja berdepan ujian politik, tetapi diuji bagaimana untuk terus menjaga keselamatan, ketenteraman dan kehidupan rakyat setelah didatangkan bala tentera Covid-19.

Yang penting ‘total lockdown’ akan dikuatkuasakan mulai 1 Jun ini, dan kerajaan memberi jaminan rakyat akan dijaga menerusi pakej bantuan yang akan diumumkan sedikit hari lagi.

Sama-sama kita menjaga prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menyokong usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian virus Covid-19 di negara sendiri. AGENDA DAILY

(*) Tok Akhi -Pemerhati politik

Tiada ulasan: