HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Mei 2021

LGM akui terima tawaran beli tapi nafi transaksi termeterai

MALAYSIAKINI

 Malaysiakini

Lembaga Getah Malaysia (LGM) hari ini menafikan dakwaan berkenaan penjualan atau pajakan dua bidang tanah di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, lembaga itu mengesahkan telah menerima beberapa tawaran untuk membeli dan memajak dua bidang tanah itu, dikenali sebagai Lot 20012 dan Lot 20013, kedua-duanya terletak di Jalan Ampang.

Berhubung Lot 20013, kata LGM, tawaran pajakan dibuat secara tender terbuka yang telus pada Oktober tahun lepas. Al-Noor Foundation yang berpangkalan di London telah terpilih setelah membida dengan bidaan tertinggi.

Tanah ini terletak bersebelahan Hospital Gleneagles di Kuala Lumpur.

Lot 20012 pula adalah untuk dijual. Kata LGM, permohonan untuk membeli tanah itu akan dipertimbangkan selaras dengan penilaian oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Kementerian Kewangan serta Jabatan Warisan Negara.

“Justeru, LGM menegaskan tidak ada sebarang perjanjian pajakan atau transaksi jual beli yang termeterai dengan mana-mana pihak (berkaitan urusan dua bidang tanah itu).

“Mengikut peraturan, semua penilaian hartanah sama ada untuk pajakan atau penjualan akan dirujuk kepada JPPH sebelum kadar pajakan serta nilai pasaran semasanya ditentukan supaya memberi pulangan hasil yang terbaik untuk LGM,” katanya.

LGM dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Jerantut dari Umno Ahmad Nazlan Idris. Dua ahli lembaga pengarahnya ialah ahli PAS - Nurul Islam Mohamed Yusoff dan Muhammad Ismi Mat Taib.

Ia terletak di bawah bidang kuasa Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Khairuddin Aman Razali.

Sementara itu, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok menggesa Khairuddin menjelaskan mengapa moratorium ke atas penjualan aset LGM telah ditarik semula.

Moratorium itu, kata Kok, dikenakan semasa dia menjadi menteri industri utama dahulu.

“Bagi menjaga aset LGM, saya maklumkan kepada pengerusi ketika itu untuk mengenakan moratorium - yang diturutinya - terhadap semua hartanah dimiliki LGM kerana saya mahu LGM kembali ke prinsip perniagaan dan tujuan asasnya - untuk menjalankan kajian getah dan tidak menyimpang daripadanya,” kata Kok.

Kok berkata, ketika dia meninggalkan kabinet, LGM masih mempunyai rizab tunai RM1.5 bilion. Justeru, katanya, Khairuddin mesti menjelaskan berkenaan sebarang tindakan berkenaan aset LGM.

Kok turut menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat LGM dalam pengurusan dua bidang tanah berkenaan, sambil menegaskan sebarang perjanjian memerlukan kelulusan kabinet.

Tiada ulasan: