KUALA LUMPUR – Pas Kawasan Tangga Batu, Melaka hari ini, menasihatkan orang ramai agar tidak terlalu mempercayai info mengenai kelemahan vaksin yang ditularkan di media sosial.
Timbalan Yang Dipertuanya, Rafie Ahmad berkata, pihaknya mendapati banyak cerita yang ditularkan mengenai vaksin menerusi platform itu tidak tepat dan tidak betul.
Katanya, setiap hari dalam pelbagai grup media sosial (medsos) banyak dihidangkan cerita yang buruk dan menyeramkan, selain kesan daripada suntikan vaksin menyebabkan ramai keliru dan ragu-ragu.
“Perkara yang asalnya tidak benar mengenai vaksin Covid-19 ini apabila diulang berkali-kali oleh pihak lain, ia nampak seperti ‘benar’ sehingga menakutkan orang ramai.
“Saya mendaftar dengan MySejahtera untuk mendapatkan suntikan. Ketika itu memang bersemangat, apatah lagi bila melihat ramai teman yang menjadi frontliner telah mendapat suntikan vaksin.
“Bermula dari situ juga pelbagai berita dan cerita yang kita dengar mengenai vaksin ini. Banyak yang buruk dari yang baik hingga saya dan kawan mula ragu dan ada bibit-bibit kecurigaan,” katanya yang dipetik menerusi Facebooknya, hari ini.
Menurut Rafie, apabila fasa dua vaksinasi bermula, maklumat yang diterimanya menunjukkan ramai menolak untuk divaksinasi.
Hinggakan ujarnya, beliau mendapat perkhabaran Kementerian Kesihatan (KKM) terpaksa menghubungi dan mencari nama mereka yang hendak datang serta menerima suntikan secara sukarela kerana vaksin itu tidak boleh disimpan lama serta mesti dihabiskan pada hari sama.
“Apabila saya mendengar berita tidak benar ini dalam medsos, saya pergi ke pusat vaksinasi untuk melihat keadaan di sana, menang dakwaan itu benar, ramai tidak hadir,” katanya.
Beliau berharap, orang ramai kikis fahaman daripada mempercayai sesuatu menerusi medsos, sebaliknya mendapatkan penjelasan dari pihak yang betul seperti pemimpin masyarakat, wakil rakyat, KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Pada masa sama, Rafie memuji masyarakat Tionghua yang mempunyai kesedaran lebih tinggi mengenai pentingnya mereka menerima vaksin berbanding orang Melayu yang masih merujuk kepada medsos sebagai sumber.
“Masyarakat Tionghua dari pelbagai peringkat usia termasuk yang uzur dan warga emas sanggup menunggu kalau ada ruang yang kosong untuk mereka menerima vaksin Covid-19,” katanya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan