HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 Mei 2021

Letak Islam di hadapan dalam Perlembagaan UMNO bukan retorik – Zahid

MGF19102019_KONVENSYEN-UMNO-SELANGOR18
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Pindaan Perlembagaan UMNO bagi Fasal 3 berhubung asas dan tujuan parti dibuat bukan sebagai retorik semata-mata dan jauh sekali hendak memancing sokongan.

Pindaan yang dibuat pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2019 dengan meletakkan Islam paling hadapan dalam perjuangannya adalah manifestasi kejujuran dan keikhlasan berterusan parti dalam memartabatkan syiar Islam yang berdaulat.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan, sebelum pindaan, perlembagaan itu hanya menggariskan UMNO sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu.

Tetapi, katanya, selepas pindaan dilakukan, UMNO telah meletakkan Islam di hadapan, kemudian disusuli dengan bangsa dan negara.

“Pindaan 2019 ini bertujuan meletakkan Islam paling kehadapan dalam perjuangan UMNO parti keramat agama, bangsa dan negara, malah kewujudannya demi mengekalkan maruah dan martabat abata.

“Pindaan ini selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi persekutuan dan UMNO sebagai parti terbesar Melayu, malah menjadi tonggak utama kekuatan UMNO selepas PRU ke-14 dan denyut nadi perjuangan parti yang berterusan,” katanya dalam hantaran Facebooknya hari ini.

Ahmad Zahid berkata, pindaan terhadap Fasal 3 itu juga dengan pengharapan perjuangan UMNO sentiasa dalam limpahan rahmat, keredhaan dan keberkatan Allah.

Katanya, dengan keimanan dan keikhlasan dalam perjuangan berlandaskan kerana Allah, maka segala ranjau dan kesulitan yang dihadapi pasti akan terlerai.

Beliau juga menzahirkan sifat istiqamah, bersabar dan tidak berputus asa dalam kalangan pemimpin, ahli dan para penyokongnya.

“Saya menyeru kepada semua pemimpin, ahli dan penyokong UMNO terus berpegang kepada asas perjuangan ini, kerana pindaan dibuat tidak bermaksud UMNO sebagai parti politik yang mengenepikan hak penganut agama lain.

“Fasal 3.3 Perlembagaan jelas menyatakan UMNO menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip kebebasan beragama.

“Mendukung asas-asas Perlembagaan Persekutuan selagi mana ia membela Kepentingan Raja-Raja Melayu, bangsa Melayu, bumiputera, anak Negeri Sabah dan Orang Asli serta lain-lain perkara sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, Prinsip Kontrak Sosial dan Undang-Undang Tubuh Negeri-Negeri di Malaysia” kata beliau. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: