HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 Mei 2021

MUKTAMAR PEMUDA: 'Mengapa Sabah, Sarawak dipinggir?'

KUANTAN: Kepemimpinan Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) dibidas segelintir perwakilan kerana dikatakan meminggir kawasan Sabah dan Sarawak susunan penutupan lajnah.

Perwakilan PAS Cawangan Sandakan, Sabah, Mustaman Mustamin, berkata parti itu seolah-olah mengenepikan dua negeri terbabit dengan menutup lajnah atau biro.

“Laporan dikemukakan Dewan Pemuda PAS seolah-olah menunjukkan kurang perhatian kepada Sabah dan Sarawak manakala lajnah di dua negeri ini juga dibuang.

“Mana kedudukan lajnah Sabah dan Sarawak? Contohnya ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan.

“Mana pimpinan Pemuda PAS turun ke sana? PRK Sandakan sepatutnya menyatupadukan PAS dan Parti Bersatu Sabah (PBS) serta berhubungan dengan parti politik lain.

“Jangan fikir mengenai PAS dan UMNO di Semenanjung saja, kami di Sabah ada bermacam-macam parti lain, bukan sekadar UMNO,” katanya.

Beliau mengajukan soalan pada sesi soal jawab dan perbahasan laporan tahunan dan penyata kewangan sempena Muktamar Pemuda PAS ke-60 di sini, hari ini.

Setiausaha DPPP yang juga Ketua Sektor, Afnan Hamimi Taib Azimudden, ketika menjawab soalan terbabit, berkata penutupan lajnah di dua negeri itu bertujuan menukar fungsinya kepada sektor.

“Sabah dan Sarawak tidak boleh terbeban kepada lajnah saja, maka tanggungjawab dua negeri ini perlu membabitkan keseluruhan semua sektor dalam PAS supaya dapat berperanan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda DPPP, Khairil Nizam Khirudin, berkata ketiadaan pimpinan tertinggi DPPP pada PRK Sandakan lalu disebabkan oleh tanggungjawab kepada rakyat di kawasan masing-masing.

“PRK Sandakan diadakan ketika Ramadan dan pimpinan kita ada yang menang dalam pilihan raya (Pilihan Raya Umum ke-14) di peringkat DUN (Dewan Undangan Negeri) dan Parlimen, maka bulan puasa adalah masa untuk kita bersama dengan rakyat.

“Bagaimanapun, kita ada kepemimpinan tertinggi parti yang turun padang, jadi tidak timbul isu kita meminggirkan Sabah dan Sarawak,” katanya menjawab soalan terbabit

Tiada ulasan: