HALAMAN SANTAI

Isnin, 31 Mei 2021

Informasi palsu kerajaan Kedah lulus RM20 juta bantuan pek makanan

Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
 
POSTER informasi mengenai kerajaan negeri meluluskan RM20 juta untuk bantuan pek makanan kepada semua rakyat Kedah yang tular di media sosial. - UTUSAN/MEDIA SOSIAL

ALOR SETAR: Pejabat Menteri Besar mengesahkan informasi yang mendakwa kononnya kerajaan negeri meluluskan RM20 juta untuk bantuan pek makanan kepada semua rakyat Kedah adalah palsu.

Informasi berbentuk poster bertajuk ‘Bantuan PKP 3.0 Kerajaan Negeri Kedah’ itu turut memaparkan nombor telefon Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor, barisan Exco kerajaan negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokong kerajaan tular di media sosial, hari ini.

Pejabat Menteri Besar menerusi satu kenyataan berkata, kerajaan negeri tidak mengeluarkan informasi mengenai bantuan pek makanan yang bernilai RM20 juta itu.

Katanya, orang ramai diminta supaya tidak terpedaya dengan informasi berkenaan.

“Informasi tersebut merupakan ‘permainan’ pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan dalam suasana pandemik Covid-19 ini.

“Kerajaan Kedah sedang mengatur langkah yang perlu bagi meringankan beban rakyat dalam menghadapi sekatan pergerakan penuh (total lockdown) dan akan diumumkan dalam masa terdekat,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Sementara itu Muhammad Sanusi ketika dihubungi berkata, mesyuarat berkaitan persiapan menghadapi ‘total lockdown’ akan diadakan esok dan sebarang bentuk bantuan diumumkan secepat mungkin.

“Semua bantuan makanan ini akan diselaras oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Pusat-pusat khidmat wakil rakyat dan ADUN-ADUN kerajaan akan beroperasi seperti biasa serta bekerjasama untuk sediakan bantuan tersebut,” katanya. UTUSAN

Tiada ulasan: