HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Mei 2021

Kenapa hanya Tajuddin, pecat semua yang tak berprestasi, kata penganalisis

Minderjeet Kaur
Bekas pengerusi Prasarana Tajuddin Abdul Rahman dikritik keras atas ‘prestasi 
biadab’ beliau dalam sidang media berkaitan insiden kemalangan tren LRT
Selasa lepas.

PETALING JAYA: Beberapa penganalisis politik berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) sepatutnya memecat semua lantikan politik yang tidak berprestasi, sama ada dalam kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan dan badan berkanun.

Penganalisis Kenneth Cheng menyambut baik pemecatan Tajuddin Abdul Rahman sebagai pengerusi Prasarana, lebih-lebih lagi selepas beliau gagal menunjukkan empati dalam sidang media berikutan pertembungan dua tren LRT di laluan Kelana Jaya Selasa lepas.

“Beliau mungkin dipecat kerana pretasinya. Ini bermakna jika anda tidak menunjukkan prestasi, anda akan disingkirkan.

“Tetapi, adakah Tajuddin akan dipecat jika beliau daripada Bersatu?” soalnya.

Kenneth Cheng.

Tajuddin, yang juga merupakan anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno, dilihat kritikal terhadap kerajaan pimpinan parti itu.

Cheng berkata, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin juga perlu memecat menteri, timbalan menteri dan lantikan politik lain yang tidak berprestasi serta tidak melakukan tugas mereka dengan baik.

Beliau yang juga ahli Agora Society, iaitu sebuah jaringan longgar intelektual, bagaimanapun meramalkan tidak akan berlaku tindak balas daripada Umno berhubung pemecatan Tajuddin.

“Kita dalam tempoh darurat, Parlimen digantung, jadi Umno mungkin tidak boleh ‘membalas’ untuk menggulingkan kerajaan.

“Walaupun rakyat mungkin ‘tidak senang’ dengan kerajaan, mereka tiada mood untuk pilihan raya.

“Mereka hanya mahu kerajaan membendung penularan wabak Covid-19 untuk kembali kepada kehidupan normal mereka.”

Kelmarin Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz mengumumkan pemecatan Tajuddin berkuat kuasa serta-merta.

Ini susulan “prestasi biadab” beliau dalam sidang media berkaitan insiden pertembungan dua tren LRT yang menyebabkan 213 penumpang cedera, dengan ada yang kritikal.

Menteri Kewangan (Diperbadankan) adalah pemegang saham tunggal Prasarana, yang memiliki dan mengendalikan majoriti rangkaian pengangkutan awam di negara ini.

Penganalisis Azmi Hassan menyifatkan pemecatan Tajuddin sebagai langkah baik, tetapi ia mungkin “makan diri” Muhyiddin.

Azmi Hassan.

Beliau berkata, ini kerana pengguna media sosial turut mempersoalkan sama ada perdana menteri akan memecat individu lain yang berprestasi buruk.

“Jika Tajuddin boleh dipecat, bagaimana dengan menteri, timbalan dan pengerusi GLC lain?” soalnya ketika dihubungi FMT.

“Di media sosial rakyat juga tanya kenapa hanya Tajuddin. Bagaimana dengan yang lain?”

Katanya, terdapat beberapa lantikan politik daripada Bersatu and PAS yang perlu dilihat semula tahap prestasi mereka.

Seorang ahli Umno berkata, sebahagian ahli parti itu bersetuju dengan pemecatan Tajuddin sebagai pengerusi Prasarana.

Bagaimanapun beliau tidak bersetuju dengan cara pemecatan Ahli Parlimen Pasir Salak itu.

“Mereka boleh memanggilnya dan meminta beliau meletak jawatan,” katanya, selain menambah bahawa Tajuddin berbuat demikian.

“Kenapa perlu memalukannya dan Umno? Jika Tajuddin letak jawatan secara sukarela, ia tidak akan menyebabkan beliau dan parti kelihatan buruk.

Tiada ulasan: