HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Mei 2021

(KEMASKINI) Sumber sahkan Tajuddin ditahan SPRM, dijangka hadapi tuduhan dalam masa terdekat

Bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana),
Tajuddin Abdul Rahman.

PETALING JAYA: Pemimpin Umno, Tajuddin Abdul Rahman, ditahan sementara oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan kes salah guna kuasa, dan dijangka menghadapi pertuduhan dalam masa terdekat.

Menurut sumber, Tajuddin dibebaskan selepas memberikan keterangan kepada penyiasat badan anti-rasuah itu di ibu pejabat SPRM Putrajaya semalam.

Katanya, siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM iaitu berkaitan kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan. SPRM mahu menyiapkan kertas siasatan untuk pertuduhan tidak lama lagi, tambahnya.

Berita penahanan Ahli Parlimen Pasir Salak itu menyusul beberapa hari selepas beliau dipecat sebagai bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana), berkuat kuasa serta-merta.

Dalam surat kepada Pengarah Pilihan Raya Umno itu bertarikh 26 Mei, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mengucapkan terima kasih kepada Tajuddin atas perkhidmatannya.

Tajuddin dilantik sebagai pengerusi Prasarana pada 11 Mei tahun lalu.

Sementara itu, FMT difahamkan selepas dibebaskan SPRM, Tajuddin pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk memberikan keterangan berhubung dakwaan melanggar SOP berkaitan pencegahan wabak Covid-19 pada satu sidang media.

Sebelum ini, polis memaklumkan siasatan berhubung SOP itu mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit dan Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan).

Tiada ulasan: