AGENDA DAILY
Tindakan tegas perlu diambil PKR terhadap para penyokongnya yang secara terbuka menghina Yang di-Pertuan Agong kerana ia bukan kali pertama perkara tersebut berlaku, malah pereka grafik, Fahmi Reza sebelum ini juga dipertahankan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kegagalan PKR mengawal penyokongnya daripada berterusan menghina institusi raja-raja mencerminkan kelemahan pemimpin atasan mereka seakan sengaja merelakan tindakan tersebut dilakukan, kata Ketua Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan.
“Sudah beberapa kali pemimpin PKR membela mereka yang menghina institusi raja-raja Melayu secara terbuka? Sebelum ini, Anwar Ibrahim amat lantang membela Fahmi Reza yang menghina Tuanku Permaisuri Agong. Kali ini mahu simpan Iswardy Morni pula?” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menyifatkan PKR juga tidak tegas dalam mendisiplinkan penyokong fanatiknya sehingga berani bertindak luar batasan.
“Mana-mana parti yang setia dan menjunjung institusi raja-raja Melayu sudah pasti tidak akan teragak-agak memecat ahlinya yang berkelakuan begitu. PKR bagaimana,” soalnya.
Semalam, Iswardy yang merupakan Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak memuat naik video secara langsung bertajuk ‘Total Lockdown: Apa Yang Kerajaan Gagal Belajar Dalam Setahun Ini’ di YouTube rasmi miliknya.
Iswardy didakwa mengeluarkan kenyataan mendakwa Seri Paduka seakan-akan tidak bertindak terhadap peningkatan kes Covid-19.
Terdahulu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, kenyataan Iswardy sebagai tidak mewakili pendirian parti itu kerana PKR adalah sebuah parti yang menjunjung dan mempertahankan institusi raja-raja Melayu.
Kata Fahmi, ucapan Iswardy dalam beberapa video sebelum ini pernah
dibincangkan di dalam Biro Politik PKR dan keputusan telah diambil pada
April lalu dengan memberi amaran keras kepadanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan