KUALA LUMPUR – Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.
Begitulah pepatah Melayu yang berlaku ke atas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang ditamatkan kontraknya sebagau Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Bhd. (Prasarana) berkuatkuasa serta merta, semalam.
Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Paduka Ibrahim Ali berkata, kata-kata gurauan yang tidak kena pada tempatnya, di kala terjadi malapetaka yang semua pihak terkejut dan sedih itu, tidak patut berlaku.
“Saya pun turut kecewa dan terkejut dengan kenyataan gurauan Tajuddin yang tidak sepatutnya, apatah lagi beliau sudah berumur dan sepatutnya lebih matang.
“Beliau seorang yang nampak serius, tetapi boleh keluar kenyataan yang tidak sepatutnya.
“Sifat istiqamah dan tenang setiap masa adalah senjata kekuatan kepada seseorang pemimpin. Bahkan, sifat tegas, berani tidak seharusnya menjadi pedang yang membunuh diri sendiri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, jurucakap media Kementerian Kewangan mengesahkan penamatan kontrak Tajuddin selaku Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana berkuatkuasa serta merta.
Surat bertarikh 26 Mei 2021 yang ditandatangani Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz itu tidak dinyatakan alasan penamatan kontrak beliau.
Bagaimanapun, umum tahu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu dikritik hebat selepas dilihat tidak serius dan berjenaka ketika mengendalikan sidang media berhubung kemalangan tren LRT Kelana Jaya di Stesen KLCC, semalam.
Menurut Ibrahim, penamatan kontrak Tajuddin s=disebabkan keceluparannya, tetapi budaya Malaysia sebelum ini, yang memaki hamun Islam, menghina Raja-raja Melayu dan orang Melayu tidak pun dikenakan tindakan, asalkan meminta maaf.
“Tajuddin sudah minta maaf, kenapa pula beliau dipecat? Apakah kerajaan mahu tunjuk ketegasan? Sedangkan Ahli Parlimen Pasir Salak itu boleh dinasihatkan secara peribadi untuk meletakkan jawatan.
“Begitu juga sebelum ini ada yang melakukan kerosakan yang lebih teruk kepada sistem pentadbiran negara atau jenayah moral yang sepatutnya dipecat atau didakwa, tetapi tidak ada apa-apa tindakan dan pendakwaan diambil.
“Kalau hidup seiring dan seiya sekata dengan pihak yang berkuasa, mungkin ada masa untuk istighfar dan cukup dengan permohonan maaf,” ujarnya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan