HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Mei 2021

Maszlee dakwa tidak dibenarkan sertai perbincangan

Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
 
MASZLEE MALIK

JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik mendakwa tidak dibenarkan menyertai sesi Perbincangan Wakil Rakyat Johor berkenaan pengurusan pandemik dan ekonomi negeri yang berlangsung hari ini.

Menurut Maszlee, beliau tidak dibenarkan menyertai sidang video bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen Johor kerana Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad sedang berucap.

Jelasnya, dia terkejut mendapat mesej daripada pejabat Menteri Besar itu sedangkan telah membuka pautan untuk sidang mesyuarat secara maya itu 15 minit lebih awal daripada masa yang ditetapkan pada pukul 10 pagi.

“Saya menantikan sehingga pukul 10.15 pagi dan agak terkejut apabila ditolak untuk menyertai mesyuarat tersebut. Saya cuba sekali lagi untuk meminta izin memasuki mesyuarat tetapi tetap ditolak.

“Ini sesuatu yang pelik dan tidak munasabah. Saya memasuki sidang tersebut dan menantikan izin untuk masuk pada pukul 9.45 pagi walhal mesyuarat dijadualkan bermula pada 10 pagi. Apakah Menteri Besar telah berucap sebelum mesyuarat dijadualkan bermula.

“Hal ini tidak sepatutnya berlaku dan mencerminkan kecelaruan di pihak urusetia mesyuarat. Sebagai Ahli Parlimen, kehadiran dalam mesyuarat maya ini amat penting untuk membawa suara rakyat yang saya wakili,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Minggu lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah agar semua ahli Parlimen dan ADUN Johor bertemu untuk berbincang mengenai keadaan wabak Covid-19 di negeri ini.

Mengulas lanjut, Maszlee memberitahu, beliau juga diamanahkan oleh rakan-rakan dari Pakatan Harapan (PH) Johor untuk membawa isu-isu pendidikan di negeri ini yang terjejas dampak wabak Covid-19.

Jelasnya, isu pendidikan kelihatan agak terabai dan tidak diberikan tumpuan oleh kerajaan negeri sepanjang wabak melanda.

“Hal ini amat perlu diberikan perhatian dan dibincangkan di dalam mesyuarat seperti ini. Tindakan urusetia menghalang saya menyertai mesyuarat adalah satu keculasan di dalam proses demokrasi kerana menafikan hak wakil rakyat untuk didengari.

“Saya menjunjung kasih kepada Sultan Johor yang telah menitahkan mesyuarat ini dan berusaha merealisasikannya. Malangnya tindakan urusetia mesyuarat ini amat dikesalkan dan tidak sewajarnya berlaku,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: