HALAMAN SANTAI

Sabtu, 29 Mei 2021

UMNO senada dengan PH mahu Parlimen dibuka walaupun kes Covid-19 naik

AGENDA DAILY

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin menyokong gesaan Pakatan Harapan dan Datuk Seri Azalina Othman Said supaya Parlimen dibuka.

Meskipun jangkitan Covid-19 semakin mencanak naik sejak beberapa hari lalu sehingga mencecah lebih 7,000 kes sehari, UMNO kini dilihat menyertai suara blok pembangkang apabila mendesak Parlimen dibuka segera.

Ini susulan kenyataan yang senada dengan blok pembangkang yang dibuat Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin hari ini yang menggesa sidang Dewan Rakyat dibuka.

Beliau berkata, gesaan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said supaya Parlimen bersidang dengan syarat tertentu, sudah sampai ke tahap yang ‘luar biasa’.

“Saya tidak pernah melihat satu keadaan yang lebih terdesak dan kritikal berbanding sekarang,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Terdahulu Azalina sekali lagi mencadangkan agar Dewan rakyat bersidang kerana keadaan mendesak dalam negara membabitkan peningkatan wabak Covid-19.

Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata pembukaan Parlimen merupakan ‘satu-satunya cara untuk Malaysia melangkah ke depan’ bagi menangani Covid-19.

Oleh itu, beliau mencadangkan tiada usul undi tidak percaya terhadap kerajaan dibawa sehinggalah pandemik berjaya dikawal dan imuniti kelompok mencapai tahap 50 peratus.

Agenda Daily semalam melaporkan blok pembangkang menerusi kenyataan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) juga mendesak Parlimen agar segera dibuka.

PH mendakwa berlaku kecelaruan yang banyak ketika ini. Namun, realitinya saban hari pemimpin PH serta beberapa sekutu mereka di dalam UMNO lebih berpolitik dan menghasut rakyat.

Malaysia ketika ini sedang melalui tempoh Darurat selepas Yang di-Pertuan Agong berkenan menggunakan kuasa baginda berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan untuk menguatkuasakan perintah tersebut.

Baginda yakin bahawa Darurat ini merupakan langkah paling berkesan buat masa ini bagi menghadapi pandemik Covid-19 yang kini mencecah angka yang sangat membimbangkan dalam negara.

Tempoh Darurat ini berkuat kuasa sehingga 1 Ogos 2021 atau satu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid- 19 dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Semalam, negara mencatatkan 7,857 kes positif baharu Covid-19 iaitu yang tertinggi sejak Mac tahun lalu, dengan 59 kematian direkodkan.

Tiada ulasan: