HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Mei 2021

Anak nafi audio tular Isa Samad meninggal dunia

Khabar angin mengenai kematian bekas pengerusi Felda Mohd Isa Abdul Samad 
pernah dilaporkan pada 2018 dan 2019, bagaimanapun dinafikan isterinya Bibi 
Sharliza Mohd Khalid.

SEREMBAN: Anak kepada bekas pengerusi Felda Mohd Isa Abdul Samad, menafikan khabar angin yang mengatakan bapanya telah meninggal dunia, malam tadi.

Mohamad Najib Mohd Isa yang juga ketua Pemuda Umno Port Dickson ketika dihubungi memaklumkan perkara itu dan menyatakan bapanya kini masih sihat.

“Saya difahamkan ada audio yang tersebar mengenai berita ayah (meninggal dunia), semua itu tidak betul, ayah saya sihat walafiat.

“Kita doakan untuk beliau dan kita semua dipanjangkan umur, murah rezeki, selamat daripada sebarang fitnah dan penganiayaan,” katanya.

Mohd Isa, 72, pernah menjadi menteri besar Negeri Sembilan selama 22 tahun sejak 1982, selain turut menjadi ketua Umno Teluk Kemang sejak 1978 hingga 2017.

Malam tadi tular satu audio berdurasi 47 saat di aplikasi Whatsapp, yang mendakwa bekas pemimpin Umno itu meninggal dunia kira-kira pukul 8 malam.

Sebelum ini, khabar angin mengenai kematian Mohd Isa pernah dilaporkan pada 2018 dan 2019, bagaimanapun perkara tersebut dinafikan isterinya Bibi Sharliza Mohd Khalid.

Tiada ulasan: