HALAMAN SANTAI

Isnin, 31 Mei 2021

Syor hukuman sebatan bawah Akta Hasutan

HARAKAH DAILY

KUALA LUMPUR: Pakar Perlembagaan, Dato’ Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain mencadangkan supaya Parlimen memasukkan hukuman sebat sehingga 6 kali terhadap kesalahan di bawah Akta Hasutan.

Katanya, peruntukan hukuman sebatan diharap dapat meningkatkan pencegahan terhadap kecenderungan untuk menghina Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu selaku tonggak pemerintahan negara dan ketua agama Islam.

“Dalam tempoh darurat ini, saya mencadangkan ordinan darurat digubal terlebih dahulu bagi maksud di atas. Saya percaya bahawa pindaan di atas dapat mencegah sikap kurang ajar yang boleh menimbulkan kemarahan rakyat seperti banyak insiden akhir-akhir ini. 

“Di samping itu tindakan terhadap mereka yang menghina kesucian ajaran Islam perlu juga dikenakan hukuman yang lebih tegas dan dikuatkuasakan tanpa kompromi selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan negeri-negeri.

“Sehubungan itu saya menyeru semua rakyat Malaysia yang cintakan keamanan untuk menyuarakan pendirian yang sama,” ujar beliau yang juga pensyarah di Fakulti Pengurusan Industri Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Menurutnya, pengenalan hukuman sebatan di bawah Akta Hasutan tidak perlu dibimbangkan kerana akta itu mempunyai peruntukan yang tidak membolehkannya digunakan secara sewenang-wenangnya.

Kelmarin, seorang anggota dari parti politik pembangkang menerusi laman media sosial peribadinya telah bertindak memuat naik perlekehan melampau serta berbaur hasutan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Sehubungan itu, pihak polis telah melakukan tangkapan terhadap lelaki itu di Kajang dan direman selama dua hari untuk siasatan ekoran perbuatan tersebut. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: