PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegur dan memberi menasihat kepada Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman atas pengendalian sidang akhbar insiden kemalangan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) semalam.
Menurut Najib, dalam perbualan menerusi talian telefon bersama Ahli Parlimen Pasir Salak itu pada hari ini, Tajuddin mengaku silap dan memohon maaf terhadap perbuatannya sepanjang sidang media itu.
“Beliau menerima nasihat serta teguran saya untuk meminta maaf atas cara pengendalian sidang media sebab tragedi di mana ramai cedera parah bukan masa untuk berseloroh. Dia akui tak sepatutnya mengendalikan sidang media sebegitu rupa.
“Dia sendiri akui sidang media itu sepatutnya dikendalikan dengan lebih baik dan penuh empati serta maklumat. Dia juga akan meminta maaf kepada wartawan yang hadir terutama wartawan Phoenix TV,” katanya dalam hari ini.
Semalam, Tajuddin dikritik kerana tidak serius di dalam mengendalikan sidang media berhubung kejadian itu dan berseloroh mengenai pelanggaran itu antaranya mengatakan tren berkenaan ‘bercium’ sesama sendiri.
Dalam pada itu, Najib memaklumkan, Tajuddin berjanji untuk meminta Prasarana menaikkan jumlah bantuan kewangan kepada mereka yang cedera dari RM1,000 ke satu angka lebih memuaskan selain menanggung kos perubatan penuh.
“Prasarana juga akan membantu mangsa untuk menuntut pampasan dari Perkeso dan dari majikan yang mempunyai insurans swasta bagi pekerja.
“Selain itu, beliau berjanji bahawa akan memastikan siasatan penuh punca tragedi tidak akan menyorok sebarang maklumat atau melindungi sesiapa serta memastikan penambah baik SOP keselamatan akan dilaksanakan secepat mungkin agar tragedi seumpama ini tidak berulang,” katanya.
Najib menambah, Tajuddin juga berjanji meletak jawatan sebaik sahaja Majlis Tertinggi UMNO mengarahkan semua ahlinya untuk meletakkan jawatan pada masa sesuai seperti keputusan Perhimpunan Agung UMNO beberapa bulan lalu..
“Saya berterima kasih pada Tajuddin yang merupakan sahabat lama saya sebab terbuka hati dengan nasihat dan teguran saya,” katanya. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan