HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 Mei 2021

Tajuddin ucap alhamdulillah, terima kasih lepas dapat surat

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Tajuddin Abdul Rahman, mengesahkan dia sudah menerima surat memaklumkan penamatan khidmatnya sebagai pengerusi Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana).

Bercakap kepada The Star, Ahli Parlimen Pasir Salak itu menyifatkan penyingkirannya dari jawatan tersebut sebagai "bukan masalah mendesak atau sesuatu yang membimbangkan".

"Saya sudah menerima surat itu. Tidak ada apa-apa komen sekarang. Ini bukan masalah yang mendesak atau sesuatu yang perlu dibimbangkan, ”katanya seperti dilaporkan malam tadi.

Tajuddin juga memberitahu Sinar Harian dia menerima surat berkenaan daripada Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

"Saya sudah dapat surat.. baru terima petang tadi. Dia (Tengku Zafrul) hantar surat, saya terima.

"Saya ucap alhamdulillah dan terima kasih kepada menteri,” katanya.

Ahli politik veteran Umno itu juga menambah dia akan membuat kenyataan penuh mengenai penyingkirannya dari syarikat berkaitan kerajaan itu (GLC) dalam tempoh terdekat

Pun begitu kata Tajuddin baginya penamatan khidmatnya di Prasarana itu bukan sesuatu isu yang mendesak.

Berselisih faham dengan bekas CEO

Tajuddin ditamatkan perkhidmatannya daripada memimpin konglomerat pengangkutan awam milik Kementerian Kewangan itu selepas berkhidmat selama kira-kira setahun.

Pemecatannya dibuat sehari selepas dia mencetuskan kontroversi ketika mengendalikan sidang media mengenai pelanggaran LRT Kelana Jaya pada 24 Mei.

Ia adalah nahas terburuk dalam sejarah kemalangan LRT yang mengakibatkan 213 penumpang cedera. Termasuk enam mangsa kritikal dengan tiga daripadanya terpaksa dirawat di unit rawatan rapi.

Tajuddin turut dikecam kerana tidak segera hadir ke lokasi nahas yang berlaku di sebalik kedudukannya sebagai pengerusi Prasarana.

Selain meremehkan kemalangan serius itu dalam sidang medianya, pengarah pilihan raya Umno Malaysia itu juga apabila menyifatkan insiden itu sebagai dua kereta api "saling mencium".

Selain tampak bergurau tentang kejadian itu, dia juga memperingatkan wartawan untuk tidak "memprovokasi" dia ketika ditanya apakah dia akan meletakkan jawatan atas insiden itu.

Selain itu, Tajuddin juga tidak memakai topeng muka semasa sidang media dan kini disiasat oleh polis kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Berikutan tindakannya itu, pengunaan media sosial mewujudkan satu petisyen menuntut agar dia dipecat. Petisyen dalam talian yang menuntut pengundurannya memperoleh lebih daripada 130,000 tandatangan dalam beberapa jam saja.

Ini bukan kontroversi pertamanya di Prasarana. Tajuddin sebelum ini pernah bertengkar dengan mantan ketua pegawai eksekutif Prasarana yang didakwa telah mengganggu kontrak LRT3.

Selain mewakili Pasir Salak sejak tiga penggal, Tajuddin adalah bekas timbalan menteri pertanian dan industri asas tani. Dia dilantik sebagai pengerusi Prasarana pada Mei tahun lalu setelah Perikatan Nasional mengambil alih kerajaan selepas kejatuhan Pakatan Harapan.

Tiada ulasan: