AGENDA DAILY
Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman
Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sepatutnya didesak berundur daripada menjadi Pengarah Pilihan Raya UMNO bagaimanapun terdapat pemimpin atasan parti mempertahankan Ahli Parlimen Pasir Salak itu untuk tujuan kepentingan politik, dakwa pemimpin akar umbi parti.
Perwatakan dan kesombongan veteran UMNO itu mengundang rasa kurang senang pemimpin akar umbi yang kurang senang disebabkan kelantangannya, malah tidak kurang mendakwa beliau menjadi punca perpecahan dalaman parti.
“Ramai sebenarnya tidak berpuas hati dengan gaya penerangan dan perwatakan yang meninggi diri Tajuddin sebagai contoh dalam program penerangan jentera pilihan raya bersama akar umbi, ramai yang tidak jelas matlamat parti dan cara provokasi Tajuddin mengundang rasa kurang senang pemimpin akar umbi.
“Dalam program jentera pilihan raya, beliau bukan membantu akar umbi untuk bergerak sebaliknya lebih banyak menghasut untuk cenderung menyokong kumpulan tertentu dalam parti,” kata sumber yang juga seorang Ketua UMNO Bahagian kepada Agenda Daily.
Jelasnya, Tajuddin sepatutnya memainkan peranan untuk menyatukan pemimpin akar umbi parti tetapi kebanyakkan amanat yang disampaikan lebih cenderung untuk memaksa mereka mengikut kehendak pemimpin atasan parti bukannya kehendak akar umbi.
“Kami akar umbi setia kepada pemimpin atasa parti tetapi kami juga mahu pencerahan berhubung situasi semasa dalaman parti, sebagai contoh mengenai kerjasama dengan Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan DAP.
“Namun apabila kami bertanya, kami akar umbi pula yang dimarahinya dengan mengatakan pemimpin atasan tahu apa yang mereka buat… kami seakan-akan diarah hanya untuk mengikut cakap walhal sepatutnya dibawah ini banyak yang celaru dengan pendirian parti,” kata sumber itu lagi.
Sementara itu, seorang lagi pemimpin sayap UMNO di peringkat akar umbi memberitahu Tajuddin tidak mesra dengan anak muda dan gaya ‘warlord’ yang dibawanya memberi masalah kepada mereka untuk berbincang sama ada berhubung isu rakyat mahupun isu dalaman parti.
“Beliau masih terbawa-bawah gaya ‘warlord’ yang mahu pemimpin bawahan macam kami ini mengikut cakap mereka pemimpin atasan sahaja… susah untuk kami berbincang dengan Tajuddin kerana silap hari bulan dicacinya kami ini.
“Kalau gaya pemimpin sebegini yang diberikan tanggungjawab untuk menjaga pilihan raya UMNO, kami langsung tidak yakin UMNO akan dapat menang pilihan raya kerana ia hanya menimbulkan kebencian orang ramai,” kata Ketua Pemuda UMNO Bahagian itu yang enggan nama didedahkan.
Majoriti tinjauan Agenda Daily dengan pemimpin akar umbi juga mendapati mereka mahu Tajuddin berundur dan parti perlu membuat keputusan dengan segera sekiranya mahu menyelamatkan UMNO daripada terus ditolak rakyat dalam pilihan raya nanti.
“Lebih baik parti ambil tindakan segera, berundur adalah jalan paling selamat supaya UMNO tidak kalah… Tetapi ia agak mustahil kerana Tajuddin seorang yang rapat dengan Presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) dan mempunyai hubungan rapat dengan bekas Presiden (Datuk Seri Najib Razak).
“Dengan kabel yang dimiliknya dan mereka yang berkepentingan politik dalam UMNO kalau boleh mahu Tajuddin kekal sebagai pengarah pilihan raya sebab itu memudahkan kerja mereka untuk terus mengekalkan jawatan masing-masing,” kata sumber lagi.
Baru-baru ini, Kementerian Kewangan memecat Ahli Parlimen Pasir Salak daripada jawatan Pengerusi Prasarana selepas tular tingkah laku tidak bersesuaian beliau dalam mengendalikan sidang media nahas dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) di ibu negara pada Selasa.
Selain tidak memakai pelitup muka, Tajuddin juga dituduh gagal dan tidak mempunyai perasaan sensitif atau empati terhadap mangsa tragedi LRT, sekali gus membuktikan beliau sama sekali tidak layak menduduki kerusi Pengerusi Prasarana.
Tajuddin juga didakwa membuat kenyataan kasar terhadap seorang wartawan asing dari China. Dengan reaksi air muka yang ditunjukkannya ketika memberi jawapan lucu yang menyakitkan terhadap soalan serius yang diajukan oleh wartawan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan