HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 Mei 2021

Guan Eng sangat bangga pencapaian turunkan tol jambatan P. Pinang

AGENDA DAILY

Bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng berbangga dengan pencapaian menurunkan kadar tol di Jambatan Pulau Pinang.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini berkongsi perasaan bangganya tatkala meninjau pemandangan di jambatan pertama negeri itu, selepas mengimbau kembali kenangan manis serta pencapaian ulung kerajaan Pakatan Harapan (PH) berjaya menurunkan harga tol di jambatan itu.

Menerusi perkongsian di Facebooknya, Guan Eng berkata semasa beliau menerajui Kementerian Kewangan semasa pentadbiran PH selama 22 bulan, antara kejayaannya adalah berjaya melaksanakan inisiatif itu.

“Pemandangan indah Jambatan Pertama Pulau Pinang pagi ini. Lebih dari setahun sejak kadar tol dikurangkan dari RM7 kepada RM5.74 dan diskaun 20% dari RM5.60 kepada RM4.59 bagi rakyat Pulau Pinang pada 1 Februari 2020,” katanya yang turut berkongsi gambar beliau disamping basikalnya berlatar belakangkan jambatan ikonik Pulau Mutiara itu.

Terdahulu, Guan Eng semasa menjadi Menteri Kewangan zaman pentadbiran PH mengumumkan pengguna di jambatan itu akan menikmati pengurangan kadar tol.

Katanya, kadar baharu tol yang dinikmati pengguna itu nanti akan dikira berdasarkan kadar asal tol berkenaan iaitu RM7.

“Pada masa ini, rakyat Pulau Pinang yang memegang Touch n’ Go di Jambatan Pulau Pinang membayar RM5.60 selepas diskaun khas manakala pengguna luar membayar kadar asal, RM7.

“Tetapi, bermula 1 Februari 2020 nanti pengiraan yang digunakan adalah, RM7 ditolak dengan 18 peratus (RM5.74) dan kemudian jumlah itu ditolak lagi 20 peratus menjadikan kadar baharu yang akan dibayar nanti adalah RM4.59,” katanya ketika itu.

Selain berjaya menurunkan kadar tol, antara pencapaian dan kebanggaan Guan Eng adalah inisiatif pemberian RM30 melalui program e-Tunai Rakyat.

Menerusi plan itu, rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas yang berpendapatan kurang daripada RM100,000 layak menerima RM30.

Katanya, kerajaan memperuntukkan RM450 juta dengan kerjasama tiga pengendali e-dompet terpilih iaitu Grab, Boost dan Touch ‘n Go eWallet yang akan memberi manfaat kepada 15 juta rakyat Malaysia.

Tiada ulasan: