MALAYSIAKINI
Isu pengagihan vaksin kepada golongan warga emas yang berlanjutan adalah bukti ada antara menteri sekarang gagal berfungsi, kata anggota Majlis Tertinggi Umno Razlan Rafii.
Menurut Razlan sepatutnya isu itu tidak timbul jika menteri yang berkenaan menjalankan tugas dengan cekap.
"Apabila dilaporkan pendaftaran untuk vaksin rendah dan sudah berlanjutan lama, takkan tidak boleh difikirkan tindakan yang lebih proaktif untuk diselaraskan?" katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Razlan berkata demikian sebagai mengulas laporan Malaysiakini hari ini mengenai masalah warga emas di pedalaman yang tiada kemampuan untuk mendapat suntikan vaksin Covid-19 di Kelantan.
Antara kekangan yang dihadapi mereka ialah pengangkutan, kesihatan yang tidak mengizinkan dan kurang pengetahuan berkenaan vaksin.
Sebelum ini juga Malaysiakini melaporkan hampir 10,000 orang di Kelantan gagal hadir untuk menerima suntikan vaksin seperti sepatutnya. Keadaan hampri sama juga dilaporkan berlaku di Kedah.
Semalam juga Razlan menyenaraikan tujuh menteri - kebanyakannya wakil Bersatu - yang didakwanya gagal memainkan peranan serius ketika negara berdepan wabak Covid-19.
Antara yang disorotnya ialah ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dr Abdul Latiff Ahmad yang juga ahli parlimen Mersing dari Bersatu.
Kata Razlan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin - yang juga presiden Bersatu - memiliki kuasa untuk mengarahkan kementerian yang berkenaan untuk mengatasi isu tersebut.
"Kenapa tidak dibuat lagi? Malang sungguh!" katanya.
Mengulas lanjut, Razlan berkata apa yang berlaku kini boleh diatasi dengan mudah jika kerajaan memberi fokus kepada cara menyelesaikan krisis iaitu dengan menggembleng semua pihak untuk memastikan semua orang mendapat vaksin.
"Ingat ayat keramat perdana menteri: 'no one left behind'. Apa sudah jadi? Setiap desa dan kampung ada ketuanya dan jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK).
"Di setiap bandar pula ada ada wakil masyarakat dan majlis perwakilan penduduk.
"Kita juga ada wakil Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan pelbagai pemimpin yang mendapat elaun serta gaji bulanan dari kerajaan pusat. Mereka hanya perlu diselaraskan dengan bijaksana," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan