HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 Mei 2021

Kalau kecewa, PKR perlu pecat Iswardy – Asyraf

MGF10092020_MESYUARAT-PEMUDA-UMNO_09-1
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – PKR digesa  memecat ahlinya Iswardy Morni susulan kenyataan berbaur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, PKR sepatutnya mengambil tindakan selaras dengan kekecewaan yang dizahirkan akibat kebiadaban ahli parti itu.

“Walaupun Pengarah Komunikasi (Fahmi Fadzil) cuba menjarakkan PKR daripada kenyataan menghina tersebut, perbuatan yang berulang kali seperti ini mesti diambil tindakan tegas.

“Justeru Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menggesa PKR untuk memecat keanggotaan Iswardy sekiranya parti itu benar-benar ikhlas dan serius untuk menzahirkan kekecewaan terhadap tindakan biadab anggotanya yang jelas menghina DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-pertuan Agong, sekaligus membuktikan PKR masih menjunjung tinggi kesetiaan parti kepada tonggak Institusi Raja negara ini,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Pengerusi Pro PKR Sarawak, Iswardy Morni kini dalam tahanan polis susulan kenyatannya berbaur fitnah di dalam video secara langsung di laman YouTube rasmi miliknya semalam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin semalam memaklumkan, tiga kertas siasatan dibuka berikutan laporan dibuat berhubung video berkenaan.

Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Sekyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

PKR sementara itu menegaskan kenyataan ahlinya itu tidak mencerminkan pendirian parti berkenaan.-MalaysiaGazette

Tiada ulasan: