HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 Mei 2021

Adun DAP: Muhyiddin seperti tak hormat Sultan Johor kerana tak hadir mesyuarat

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin didakwa tidak menghormati Sultan Johor kerana gagal menyertai sesi perbincangan khas berhubung Covid-19 bagi mewakili Parlimen Pagoh dan DUN Gambir yang diadakan hari ini, kata Adun Skudai Tan Hong Pin.

Menurut Tan, ketidakhadiran Muhyiddin itu seolah-olah tidak hormat dengan titah Sultan Johor.

“Saya merasa amat kesal kerana Muhyiddin mewakili kerusi Parlimen Pagoh serta kerusi DUN Gambir gagal hadir dalam sesi perbincangan hari ini.

“Tanpa alasan yang munasabah, ketidakhadiran Muhyiddin seolah-olah menunjukkan sikap tidak mengutamakan Johor dan tidak hormat kepada Raja yang menitahkan supaya semua wakil rakyat Johor berbincang bersama-sama demi kebaikan Bangsa Johor,” kata Adun DAP itu dalam satu kenyataan hari ini.

Sesi perbincangan khas itu diadakan memandangkan Parlimen tidak dapat bersidang susulan proklamasi darurat.

Pada Januari, Muhyiddin telah menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat bagi mengekang penularan Covid-19.

Tan Hong Pin

Maszlee tak dibenarkan sertai

Menurut sumber, mesyuarat dalam talian selama dua jam itu diadakan secara dalam talian melalui Cisco Webex pagi ini yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Hasni Mohammad.

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong, yang merupakan Ahli Parlimen Ayer Hitam, dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Edmund Santhara yang juga Ahli Parlimen Segamat, hadir dalam mesyuarat itu.

Difahamkan, Muhyiddin "diwakili" oleh Adun Bukit Kepong, Sahruddin Jamal.

Sementara itu, Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik mengadu bahawa pengendali mesyuarat dalam talian itu enggan membenarkan dia menyertainya.

“Saya memasuki sidang tersebut dan menantikan izin untuk masuk pada jam 9:45-9:50, walhal mesyuarat dijadualkan bermula pada jam 10 pagi.

“Apakah YAB Menteri Besat telah berucap sebelum mesyuarat dijadualkan bermula?” katanya sambil menambah bahawa dia dimaklumkan dia tidak dibenarkan menyertai mesyuarat itu kerana Menteri Besar sedang berucap.

“Hal ini tidak sepatutnya berlaku dan mencerminkan kecelaruan di pihak urusetia mesyuarat. Sebagai ahli parlimen yang mewakili rakyat dalam kawasan parlimen saya, kehadiran dalam mesyuarat maya ini amat penting untuk membawa suara rakyat yang saya wakili,” katanya.

Tiada ulasan: