MALAYSIAKINI
Bekas menteri Rafidah Aziz berkata dia "gusar" dengan rancangan kerajaan untuk mewujudkan beberapa pusat pemberian vaksin (PPV) mega, berikutan isu kesesakan di pusat itu.
Rafidah berkata, rancangan itu bertentangan dengan matlamat capaian seluas mungkin dan memastikan keadaan di PPV terkawal dan diuruskan dengan baik.
Dia mengambil maklum yang di PPV berskala besar sedia ada, ada yang perlu menunggu beberapa jam sebelum menerima suntikan.
Katanya, semua PPV sepatutnya dibuat dengan skala yang sesuai di setiap daerah dengan menggunakan dewan orang ramai, di mana prosedur operasi standard (SOP) dapat dikuatkuasakan dengan lebih baik.
"pusat vaksin daerah ini hanya untuk mereka yang tinggal di daerah itu.
"Ini akan membolehkan penjagaan rekod dan pengesanan dibuat secara cekap dan berkesan.
"Kita tidak perlu 'set up' IT bernilai RM70 juta untuk pendekatan yang munasabah ini," katanya dalam kenyataan.
Rafidah berkata dia tahu ada penduduk Selangor yang mendapat temu janji vaksin di Perak.
"Kita tidak boleh bazirkan wang dan masa dengan melaksanakan perkara ini secara skala besar," katanya.
Dia juga berkata Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah juga perlu dilibatkan dalam usaha vaksinasi bagi menjamin kemudahan penjagaan kesihatan digunakan dengan baik.
Program vaksinasi negara dipantau Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.
Bekas Adun Skudai Dr Boo Cheng Hau, yang juga seorang doktor, turut memberi peringatan yang kemudahan vaksinasi besar membawa risiko penularan Covid-19.
"Langkah yang lebih bijak adalah memperluas dan mempercepat proses pemberian vaksin melalui lebih 1,000 klinik kesihatan kerajaan dan 8,000 klinik perubatan am swasta yang ada dalam negara ini.
"Klinik kerajaan dan swasa ini biasanya menjadi satu-satunya kemudahan perubatan sedia ada kepada penduduk kampung dan pekan kecil," katanya dalam kenyataan semalam.
Dia juga mencadangkan agar kerajaan menggerakkan kempen pemberian vaksin dari rumah ke rumah, terutama bagi warga emas, golongan B40 dan orang kelainan upaya yang menghadapi kesukaran seperti tiada pengangkutan.
Sementara itu, Gabungan Persatuan-Persatuan Sains dan Teknologi Malaysia (Costam) turut menggesa klinik swasta dilibatkan dalam usaha vaksinasi.
"Di United Kingdom, penglibatan pengamal perubatan am dilihat berjaya. Orang boleh mendapatkan vaksin tidak jauh dari rumah mereka," kata Presiden Costam Ruslan Hassan.
Dia menyambut baik pengumuman kerajaan bahawa 500 klinik swasta akan dilibatkan dalam usaha itu, dia menggesa jumlah itu ditingkatkan.
Jumaat lalu, Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta (FPMPAM) menggesa kerajaan melibatkan klinik swasta dan kerajaan secara besar-besaran dalam usaha memberikan vaksin Covid-19 kepada penduduk.
"Kita tak perlukan aplikasi yang tidak berhubung antara satu sama lain. Kita perlukan orang ramai pergi ke doktor mereka dan terus mendapatkan suntikan mereka," kata Presiden FPMPAM Dr Steven Chow Kim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan