KUALA LUMPUR – Tindakan Pengerusi Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang seolah-olah acuh tidak acuh serta dikatakan bersikap kurang adap dalam isu kemalangan tren Transit Aliran Ringan (LRT) melibatkan 213 penumpang.
Susulan daripada insiden itu, Ahli Parlimen Klang (DAP), Charles Santiago mendesak agar Tajuddin yang juga wakil rakyat Pasir Salak itu dipecat daripada Prasarana.
Dakwa Santiago, Tajuddin sebenarnya tidak lebih daripada seseorang yang sentiasa menimbulkan masalah dengan jawatan yang dipertanggungjawabkan.
“Saya tidak faham, adakah 213 penumpang ini tidak membawa apa-apa makna kepada beliau? Bagaimana pula dengan 64 yang masih lagi dirawat di hospital, daripada jumlah itu enam pula dalam keadaan kritikal, tiga daripadanya perlukan bantuan pernafasan.
“Apakah ini sesuatu yang dijadikan seperti bahan jenaka sampai beliau dalam sidang media masih mampu tersenyum malah menggunakan perkataan seperti tren ‘cium’ antara satu sama lain.
“Orang ini perlu dipecat dan ini perlu dilakukan dengan kadar segara. Beliau seperti tidak ada rasa simpati terhadap mangsa-mangsa ini, sekaligus gagal sama sekali dalam menjalankan tanggungjawabnya,” tulisnya dalam laman Facebook hari ini.
Hari ini, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib mendedahkan Tajuddin mengakui kesilapan yang dilakukannya pada sidang media mengenai kemalangan tren LRT semalam.
Kata Najib, Ahli Parlimen Pasir Salak itu meminta maaf serta menerima nasihat dan teguran daripadanya selepas didakwa mengendalikan sidang media secara berseloroh.
Selain itu Tajuddin juga dikatakan telah meminta maaf kepada salah seorang wartawan kerana ‘terlebih jenaka’.
Kata Santiago lagi, pampasan yang ditawarkan oleh Tajuddin itu juga seperti ‘melepaskan batuk ditangga’ dengan nilai RM1,000 kepada mangsa kemalangan tren itu.
“Apakah jumlah RM1,000 sebagai pampasan? Yang juga turut merangkumi bayaran perubatan. Sekurang-kurangnya jumlah yang masuk akal. Ini tidak lebih daripada satu penghinaan sebenarnya.
Dalam pada itu, Santiago turut mengkritik Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong hanya menuding jari kepada pemandu sebagai punca kemalangan itu dan seperti ‘melepaskan’ Tajuddin dan Prasana daripada tanggjawab tersebut.
“Apakah Ka Siong cuba berusaha mengalihkan tanggungjawab dari Prasarana dan Tajuddin?
“Sekiranya benar bahawa pemandu beralih arah, mengapa pusat kawalan tidak menyedari perkara ini? Mengapa tidak ada amaran yang diberikan?
“Bukankah litar trek yang membolehkan sistem isyarat kereta api beroperasi secara separa automatik dengan memaparkan isyarat agar kereta api menjadi perlahan atau berhenti di hadapan trek yang diduduki di hadapan mereka.
“Walaupun mudah untuk menyalahkan pemandu, persoalan yang sebenarnya timbul ialah siapa sebenarnya yang bertanggungjawab terhadap kemalangan ini?
“Kita sebenarnya memerlukan pasukan pakar yang bebas untuk menjalankan siasatan yang tidak memihak untuk memastikan perlanggaran tersebut tidak berulang.
“Jangan jadikan ini sebagai alasan untuk
biarkan Tajuddin loloskan diri atau lepaskan Prasarana dari pikul
tanggungjawab ini,” tegasnya. -MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan