HALAMAN SANTAI

Sabtu, 29 Mei 2021

Ketua Pemuda, Puteri UMNO pasti gembira lihat kes Covid-19 naik?

AGENDA DAILY

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Puteri UMNO, Zahida Zarik Khan gembira menjadi budak suruhan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ketua Pemuda dan Puteri UMNO pastinya gembira melihat perkembangan semasa krisis kesihatan yang semakin kritikal melanda negara kerana mereka berdua sebelum ini menyokong kumpulan yang melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Angka jangkitanCovid-19 yang mencecah ribuan kes setiap hari bukan suatu yang penting bagi dua pemimpin sayap UMNO ini. Bagi mereka berpolitik lebih penting daripada nyawa rakyat dan kini cuba menjadi hero kononnya berjuang untuk rakyat.

Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki boleh pula menawarkan khidmat guaman secara percuma kepada orang ramai yang dikompaun dan merasakan diri mereka dianayai akibat tindakan penguatkuasaan SOP.

Ketua Puterinya pula, Zahida Zarik Khan sebelum ini menghasut rakyat dengan mendesak supaya kerajaan memberi kebenaran untuk pulang berhari raya ke kampung walaupun langkah tersebut pasti mengundang bencana besar kepada negara.

Begitulah sikap dua anak muda ini yang sanggup menjadi keldai kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menghasut rakyat supaya melanggar SOP dan sehingga kini yang terpaksa menanggung musibah adalah rakyat, kata Ketua Penerangan Bersatu Selangor, Mohd Hamidi Abu Bakar.

“Siapa yang selama ini menghasut rakyat supaya melanggar SOP? Bukankah kerajaan sudah membuat keputusan yang sewajarnya untuk melindungi nyawa rakyat tapi kerana kedegilan Pemuda dan Puteri UMNO ini mereka sanggup menghasut rakyat.

“Asraf menawarkan khidmat guaman kepada pelanggar SOP, si ketua puterinya (Zahida) pula menggesa supaya kerajaan memberi kebenaran balik ke kampung. Sekarang apa jadi? Ramai yang balik kampung ikut jalan tikus dan ramai juga yang berani melanggar SOP disebabkan mereka tahu UMNO akan menyediakan khidmat guaman,” kata Hamidi kepada Agenda Daily.

Untuk rekod, pada 15 Mac, Asraf mengeluarkan satu kenyataan sama dengan blok pembangkang untuk memberi khidmat guaman secara percuma kepada orang ramai yang melanggar SOP sementara Zahida sebelum sambutan Aidilfitri mengeluarkan satu poster mendesak kerajaan membenarkan orang ramai pulang ke kampung.

Hamidi menyifatkan kedua-dua pemimpin sayap UMNO ini menjadi budak suruhan kepada pimpinan atasan UMNO yang cuba menghasut rakyat untuk menentang segala keputusan kerajaan berhubung kaedah untuk menangani penularan Covid-19.

“Kedua-dua mereka ini hanya menjadi budak suruhan kepada Zahid kerana bukan kita tidak tahu hanya apabila kes Covid-19 naik, kes mahkamah yang sedang dihadapi mereka juga akan ditangguh.

“Jadi sudah cukuplah kedua-dua mereka ini menjadi budak suruhan kepada Presiden UMNO itu. Asraf dan Zahida sepatutnya menunjukkan contoh baik kepada anak muda dan bukan keldai kepada pemimpin korup mereka,” ujarnya lagi.

Jelas Hamidi, rakyat tidak wajar meletakkan segala kesalahan atas bahu Kerajaan Pusat semata-mata dan sepatutnya rakyat juga harus bersama-sama berusaha mematuhi SOP bagi menurunkan jumlah kes jangkitan Covid-19.

“Kalau salahkan kerajaan pun tidak guna, elok rakyat juga perlu bersama-sama untuk mengurangkan kes Covid-19 ini. Kita kena bersatu padu dan tidak terpengaruh dengan ahli politik yang cuba menangguk di air keruh dan hanya tahu memburukkan lagi keadaan.

“Seperti Ketua Pemuda dan Puteri UMNO ini, mereka hanya tahu menghasut rakyat dan menuduh kononnya kerajaan gagal. Tapi sebenarnya siapa yang gagal? Adakah Ketua Pemuda dan Puteri UMNO ini lupa Menteri Keselamatan itu datang daripada parti UMNO? Segala polisi dan nasihat perlu datang daripada Menteri UMNO juga.

“Jika mahu mengatakan kerajaan ini gagal, jadi ini bermakna UMNO juga gagal kerana mereka juga sebahagian dalam parti,” katanya lagi.

Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ fasa pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 Jun 2021 hingga 13 Jun 2021, susulan peningkatan kes Covid-19 sejak kebelakangan ini.

Kenyataan Pejabat Perdana Menteri memaklumkan bahawa sepanjang tempoh ini, semua sektor tidak dibenarkan untuk beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara.

Keputusan itu dicapai pada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin petang semalam.

Tiada ulasan: