KUANTAN: Sebanyak 11 laporan polis dibuat terhadap pemimpin Pro-Keadilan Sarawak, Iswardy Morni yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Laporan itu dari UMNO, Pas, Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuantan, Md. Jamil Pauzi berkata, ia dibuat di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) di sini dan selepas ini akan ada lagi laporan polis terhadap aktivis berkenaan.
“Kami menjangkakan akan ada kira-kira 30 laporan polis di negeri ini terhadap Iswardy sebagai tanda solidarity kami terhadap Al-Sultan Abdullah.
“Tindakan individu itu yang membuat kenyataan dalam satu siaran video secara langsung di laman sosial YouTube jelas satu kesalahan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya kepada pemberita di sini.
Md. Jamil berkata, tuduhan Iswardy yang mendakwa Yang di-Pertuan Agong tidak melakukan apa-apa bagi membendung penularan wabak Covid-19 juga berniat jahat dan bersifat fitnah.
Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda Pas negeri, Mujahidul Amin Roslan berkata, tindakan Iswardy itu dilihat sebagai satu bentuk provokasi terhadap sensitiviti orang Melayu dan tidak patut dibiarkan tanpa tindakan tegas oleh pihak berkuasa.
“Institusi raja yang sepatutnya menjadi payung rakyat telah diperkotak-katikkan oleh sesetengah pihak dan ahli politik sepatutnya hanya berpolitik dan jangan bertindak sehingga mencabar institusi beraja,” katanya.
Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak itu ditahan di Kajang, Selangor bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya menerusi video secara langsung dalam laman rasmi YouTube didakwa berbaur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong.
Siasatan terhadap ahli PKR Cabang Petra Jaya, Sarawak itu dibuat
mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Sekyen 504 Kanun Keseksaan dan
Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan