HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 Mei 2021

Polis siasat gambar Exco P.Pinang makan dalam kedai

azrulhakimie

Siasatan dijalankan berhubung pelanggaran SOP PKP

BUTTERWORTH– Polis menjalankan siasatan ke atas Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pulau Pinang Soon Lip Chee, selepas gambarnya tular menunjukkan beliau disyaki makan di sebuah kedai makan di Medan Selera Sin Tat Garden, di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, siasatan dijalankan berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), iaitu makan di dalam kedai sedangkan ia tidak dibenarkan.

“Berikutan itu, polis memanggil Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Bagan Jermal, pemilik kedai dan beberapa lagi individu, untuk direkodkan keterangan hari ini bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut.

“Polis jalankan siasatan kes itu menurut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2021,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sejak semalam tular di media sosial gambar Soon disyaki makan di sebuah medan selera, dan netizen mengecam tindakan exco tersebut dan meminta polis menjalankan siasatan lanjut.

Noorzainy berkata, berdasarkan siasatan awal kejadian itu berlaku pada 3 petang 23 Mei lepas dan Soon mendakwa beliau hadir di medan selera tersebut untuk mempromosikan satu gerai makan di situ, namun tidak menjamu selera di situ seperti dalam gambar yang tular.

“Menurut beliau (Soon) lagi, dia telah masuk ke kedai makan itu untuk menangkap gambar menunjukan beliau sedang menikmati makanan tersebut, dan hanya berlakon tanpa memakai pelitup hidung serta mulut, serta tidak makan di lokasi tersebut dan selepas selesai beliau terus beredar,” katanya.

Noorzainy meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu dan menafikan polis tidak mengambil tindakan, sedangkan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Menurutnya kertas siasatan akan diserahkan kepada Pejabat Pendakwa Raya apabila siasatan kes itu selesai dijalankan. – Bernama

Tiada ulasan: