HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 Mei 2021

Jawatan lantikan politik tidak kekal lama – Ahmad Maslan

MGF30072018_SIDANG-PARLIMEN18
Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan mempunyai hak dan kuasa untuk menamatkan kontrak penjawat di bawah agensi dan anak syarikatnya sekiranya didapati perlu ditamatkan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, jawatan lantikan sama ada pengerusi eksekutif atau bukan eksekutif bukan bersifat kekal.

Justeru, beliau menasihatkan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang ditamatkan jawatannya sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) berkuatkuasa semalam, agar tabah dan mendoakan yang terbaik.

“Jawatan yang dipegang seseorang atas lantikan politik hanyalah bersifat sementara dan mana-mana menteri berhak menamatkan kontraknya.

“Dalam kes Tajuddin, Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berhak melakukan tindakan sedemikian,” katanya yang dipetik mengulas mengenai perkara itu menerusi Facebooknya, semalam.

Semalam, Tajuddin menerima surat daripada Menteri Kewangan yang menamatkan perkhidmatannya sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana berkuatkuasa serta-merta.

Perkara itu disahkan jurucakap media Kementerian Kewangan susulan tersebarnya sepucuk surat penamatan kontrak Ahli Parlimen Pasir Salak itu, petang semalam.

Dalam surat bertarikh 26 Mei 2021 yang ditandatangani Tengku Zafrul, tiada dinyatakan alasan penamatan kontrak Tajuddin.

“Dimaklumkan bahawa Menteri Kewangan (Diperbadankan) telah bersetuju agar perkhidmatan YB. Datuk Seri sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana ditamatkan berkuatkuasa serta-merta,” kata surat itu.

Bagaimanapun umum mengetahui, Tajuddin dikritik hebat selepas dilihat tidak serius dan berjenaka semasa mengendalikan sidang media berhubung kemalangan tren LRT Kelana Jaya di Stesen KLCC, semalam.

Menurut Ahmad, setiap jawatan dalam politik hanya sementara, tetapi apa juga jawatan yangn dilantik, paling lama mungkin 22 tahun dan boleh jadi 22 bulan.

Beliau berharap, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu bersabar dalam menghadapi dugaan serta mendoakan yang terbaik bagi kedua-dua pihak.

Untuk rekod, Tajuddin dilantik Pengerusi Prasarana pada 11 Mei 2020 menggantikan bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim yang meletak jawatan pada 7 Mei 2020. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: