HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Mei 2021

Seribu satu cacian, kejian buat Ismail Sabri – Ada lagi?

 Oleh Muhammad Fitri Abdullah

MENUNDING jari menyalahkan orang lain amat mudah. Semua pun salah dia. Yang orang lain buat, pun dia nak kena tanggung juga. Tidak cukup sekadar itu, semua yang diperjelaskan pun pastinya akan dipertikaikan walaupun benar dan berdasarkan fakta.

Apabila tidak selari dengan kehendak diri, semuanya akan ditentang habis-habisan sehinggglah pelbagai kecaman, kejian dan kata nista dilontarkan. Asal boleh, taji. Asal ada ruang, hentam.

Akan tetapi masalahnya, apabila dia nak melaksanakan Plan A, kumpulan si penentang suruh pula buat Plan B. Punggah! Apabila dah buat Plan B, dipersoal pula, kenapa tak buat Plan A? Pening!

Selepas itu, kumpulan penentang-penentang yang sama ini jugalah yang akan bertindak ‘menyalak’ tak ingat dunia di media sosial. Apa sebenarnya yang dimahukan? Atau sengaja nak salahkan si dia sahaja?

Itulah keadaan dihadapi oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Ismail Sabri Yaakob atau dipanggil mesra Pak Long Mail pada setiap hari sejak bermulanya era PKP dan seangkatan dengannya.

Ada sahaja cemuhan, cacian dan rasa tidak puas hati serta tindakan bangkangan yang tidak berasas dilontarkan terhadap Pak Long Mail.

Tidak rasa segan silu atau malukah kita hendak mempersoalkan semua tindakan beliau yang sebenarnya dibuat atas persetujuan semua pihak berwajib demi kepentingan rakyat dan negara?

Sebagai contoh, marahkan kerajaan termasuk Ismail Sabri kerana tidak benarkan pulang beraya di kampung tetapi golongan yang sama juga bertindak ‘melontar batu sorok tangan’ kepada kerajaan kerana mendakwa tidak melaksanakan lockdown.

Eh! Apa ni? Kau yang pening, lepas itu hasut orang lain untuk turut sama pening dengan kau. Dah kenapa? Semua ini adalah mentaliti yang hanya mementingkan diri sendiri dan kalau mengetuk papan kekunci, ketuk sesedap jari jemari.

Jika satu-satu keputusan yang dibuat itu dilihat berpihak kepada kehendak diri, pastinya akan ok dan jika sebaliknya maka akan melalaklah kumpulan-kumpulan berkenaan sampai nak terkeluar anak tekak.

Cubalah jadi rakyat yang berlapang dada dan mempercayai perancangan kerajaan yang pastinya dilakukan untuk kesejahteraan rakyat dan negara.

Tanya pada diri, kenapa kita tidak membantu dan menyokong sepenuhnya usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan terutama yang melibatkan SOP.

Malah kita sebenarnya penyebab utama kepada berlakunya penularan kes Covid-19 yang kini telah mencecah angka 7,000 lebih untuk kes baharu harian.

Namun kita tidak pula menyalahkan diri sendiri (mereka yang degil dan tidak dengar cakap, senang-senang memperkotak-katikkan SOP), sebaliknya terus menunding jari kepada satu pihak lain yang harus dijadikan kambing hitam.

Jika ada di antara kita yang pernah mendengar ceramah Ustaz Datuk Shamsuri Ahmad, pasti kita tersentuh dengan satu ceramah beliau yang membicarakan tentang sifat manusia.

Menurut kata penceramah popular tersebut, sifat manusia adalah senantiasa menyalahkan pihak lain.

Jelasnya, apa juga tindakan pihak berkuasa termasuk Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid, pun akan turut terpalit terkena sumpahan dan makian daripada masyarakat.

Permasalahan manusia, jika berlembut pun tak kena, berkeras lagilah tak kena. Samalah seperti tak buat apa-apa pun kena juga makian daripada segelintir pihak.

“Kita jangan mimpi kata (kalau) akan dapat satu keadaan yang mana semua akan setuju dengan kita. Jangan mimpi!

“Sampai bila-bila pun akan ada orang yang setuju dan ada juga yang tidak bersetuju, sampai bila-bila pun.

“Kita buat betoi (betul) pun tak kena, buat yang tak betoi (tidak betul) lagi teruk kita akan kena. Oi! Memang masak (teruk) kita kena dengan orang macam ni,” kata Ustaz Shamsuri dalam salah satu ceramah beliau yang menyentuh mengenai sifat manusia.

Tegas penceramah tersohor itu lagi, sifat tersebut bukan berlaku pada masa ini sebaliknya telah berlaku sejak zaman berzaman lagi.

 

Menurutnya, kisah klasik yang terbaik dijadikan tauladan adalah mengenai Luqmanul Hakim bersama anaknya dan keldai. Semua tindakan Luqmanul Hakim dipersalahkan tatkala dia menunggang keldai dan anaknya memimpin keldai.

Apabila disuruh anaknya menunggang keldai dan dia pula memimpin keldai, sekelompok masyarakat menyalahkan anaknya pula kerana tidak rasa belas kasihan terhadap seorang bapa.

Apabila kedua anak beranak itu tidak menunggang keldai, segelintir masyarakat mengatakan mereka tidak mensyukuri nikmat.

“Semua yang dilakukan dipersalahkan oleh masyarakat. Jadi tuan-tuan nak buat lagu  mana (macam mana) untuk bagi semua orang puas hati?

“Tapi yang duk complain (buat aduan) itu langsung tak buat apa-apa. Itulah hakikat manusia,” kata Ustaz Shamsuri.

Untuk itu, mari kita muhasabah diri. Siapakah sebenarnya punca semua ini terjadi termasuk kes Covid-19 yang melepasi catatan harian 7,000 kes?

Kita tahu jawapannya tetapi adakah kita akan akur dengannya? Pastinya ego akan membelakangi diri kita untuk menerima hakikat sebenar bahawa kita adalah punca sebenar.

Tak perlulah menyalahkan orang lain, atau menjadikan satu-satu pihak untuk memikul semua permasalahan yang terjadi.

Fikir-fikirkan dengan jiwa yang tenang. Adakah kita akan terus mempersalahkan seorang individu yang berkenaan? Kalau dia dah tidak ada lagi nanti untuk memimpin, siapa pula kita nak salahkan?

Jadilah manusia yang rasional, bukannya bertindak mengikut hawa nafsu semata-mata atau ada akal guna, tak cukup setakat ada otak walaupun kita ditanya, “hang ada otak tak?” – SM

Tiada ulasan: