HALAMAN SANTAI

Isnin, 23 Ogos 2021

3 ADUN tak dibenar hadir sidang DUN Perak, kata speaker


IPOH: Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak tidak dibenarkan menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dijadualkan berlangsung empat hari bermula Rabu atas nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Yang Dipertua Dewan Negeri Perak Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, ini berikutan status tiga ADUN tersebut, iaitu positif Covid-19, kontak rapat dan belum menerima vaksin.

“Saya telah maklumkan secara peribadi mengenai nasihat yang kami terima daripada MKN dan KKM kepada mereka akan perkara ini. Yang positif itu baru mendapat keputusannya semalam, yang kontak rapat itu perlu kuarantin kendiri di rumah dan seorang lagi belum divaksin.

“Jadi ketiga-tiga ini tidak dibenarkan menghadiri sidang DUN. Kita perlu mengambil langkah sewajarnya dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat,” katanya pada sidang media hari ini dan menambah, maklumat lanjut mengenai ketiga-tiga ADUN itu akan dimaklumkan kemudian.

Mohammad Zahir berkata, selain itu, setiausaha dan penolong setiausaha dewan juga digantikan dengan orang lain kerana mereka perlu menjalani kuarantin kendiri ekoran dua orang petugas yang terlibat dengan persidangan itu didapati positif Covid-19.

Sementara itu, Mohammad Zahir berkata, selain sesi perbahasan titah Diraja dan sesi soalan lisan, persidangan juga dijangka membahaskan usul-usul melantik keanggotaan ahli Jawatankuasa Kira-Kira, Jawatankuasa Perintah-perintah Tetap, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dan Jawatankuasa Pilihan Khas Bangunan Baharu Dewan Negeri Perak.

Sebelum ini dilaporkan, konsep “gelembung persidangan” Dewan Negeri akan diguna pakai dalam persidangan DUN Perak yang bermula 25 Ogos ini dan pelaksanaan itu dibuat selepas mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19 di negeri ini serta khidmat nasihat Jabatan Kesihatan Negeri (JKN).

Konsep gelembung merangkumi empat elemen utama, iaitu penyediaan kemudahan penginapan, pengangkutan, pertambahan ruang persidangan dan keperluan ujian pengesanan harian bagi mereka yang terlibat dengan persidangan.

Bagi meminimumkan pergerakan, semua individu yang terlibat dalam gelembung persidangan akan disediakan kemudahan pengangkutan dan penginapan di Hotel Impiana, Ipoh dan penggunaan kenderaan sendiri atau e-hailing adalah dilarang.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan untuk berangkat merasmikan istiadat pembukaan pada hari pertama persidangan.

Tiada ulasan: