MALAYSIA NOW
Mahfuz berkata tindakan itu tidak ubah seperti sebuah ugutan kepada Ismail oleh PN.
Amanah kesal dengan tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin yang meletakkan syarat dalam menyatakan sokongan terhadap Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri.
Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar berkata tindakan itu tidak ubah seperti sebuah ugutan kepada Ismail oleh PN.
“Saya percaya dengan syarat dan ugutan yang dibuat oleh PN kepada Ismail menjadikan Malaysia sedang dipengaruhi oleh politik peras ugut yang bercorak kumpulan Mafia,” dakwanya dalam kenyataan hari ini.
“Saya mohon kepada kebawah Duli Tuanku, sebelum membuat keputusan perlu melihat perkara ini sedalamnya demi masa depan kesejahteraan Malaysia yang tercinta.”
Mahfuz pada masa sama turut mendakwa, beliau yakin tindakan mengugut juga berlaku kepada Ismail dari kalangan kumpulan presiden Umno.
Terdahulu, PN sebulat suara bersetuju mencalonkan Ismail sebagai perdana menteri yang baru secara bersyarat.
Muhyiddin menyatakan semua 50 ahli Parlimen daripada parti gabungan PN, iaitu 31 dari Bersatu, 18 PAS dan seorang dari Star sudah menyerahkan surat akuan bersumpah ke Istana Negara termasuk empat ahli Parlimen bebas.
Antara syarat itu ialah sekiranya dilantik sebagai perdana menteri, ahli Parlimen Bera itu hendaklah memastikan jemaah menteri yang dilantik terdiri daripada mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.
Katanya, kerajaan PN di bawah pimpinan beliau juga mestilah meneruskan amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep Raja Berperlembagaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan