Astro Awani

FRU
melakukan sekatan berhampiran Bulatan Dato Onn bagi menghalang Ahli
Parlimen daripada memasuki Bangunan Parlimen pada Isnin. - Gambar ASTRO
AWANI / SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR:
Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) meminta semua Ahli Parlimen
membuat laporan polis bagi mengenal pasti individu di sebalik arahan
melarang mereka masuk ke Bangunan Parlimen pada Isnin.
Menerusi
satu kenyataan, PH berasa amat kesal dengan tindakan mengarah serta
memperalat Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menghalang pergerakan Ahli
Parlimen semalam.
Tegasnya,
tindakan mengugut dan menghalang mereka daripada menjalankan kuasa
seorang Ahli Parlimen yang sah di sisi undang-undang sebenarnya
melanggar Seksyen 124 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum tujuh tahun
penjara atau denda.
“Kami
juga amat kesal dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang telah
membenarkan pelanggaran perintah Dewan Rakyat kepada Ketua Polis Negara
ini berlaku.
“Pada masa yang sama,
keputusan Yang Dipertua membenarkan Ahli Parlimen yang merupakan ahli
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) masuk ke Parlimen untuk
mesyuarat semalam membukti bahawa Yang Dipertua wajib dipertanggungjawab
atas arahan yang juga telah menghalang Ahli Parlimen lain daripada
memasuki Parlimen.
“Beliau telah gagal melindungi dan mempertahankan hak Ahli Parlimen dan mesti meletakkan jawatan,” memetik kenyataan tersebut.
Kenyataan
itu merupakan kenyataan bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR),
Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad
Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Jelas
kenyataan itu lagi, Majlis Presiden PH berkata niat mereka hadir ke
Parlimen pada Isnin hanyalah untuk menjunjung titah Yang di-Pertuan
Agong.
Menurutnya, ia berasaskan Perkara
150(3) Perlembagaan Persekutuan, Parlimen perlu membahas dan memutuskan
pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat.
“Namun
sekali lagi Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah menunjukkan inilah
kerajaan yang telah mengingkari titah perintah Seri Paduka Baginda,
tidak mengendahkan Parlimen dan melanggar Perlembagaan Persekutuan,”
ujarnya.
Semalam,
beberapa Ahli Parlimen pembangkang berkumpul di Dataran Merdeka setelah
mereka tidak dibenarkan memasuki Bangunan Parlimen pada Isnin.
Mereka
kemudiannya berucap di hadapan media selama kira-kira 20 minit sebelum
ramai-ramai berarak menuju ke Bangunan Parlimen dari Dataran Merdeka.
Begitupun,
langkah mereka terhenti di Bulatan Dato Onn selepas Pasukan Simpanan
Persekutuan (FRU) menutup laluan tersebut dan tidak membenarkan walau
seorang pun Ahli Parlimen melepasi halangan mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan