HALAMAN SANTAI

Selasa, 24 Ogos 2021

Kabinet baharu: UMNO bimbang Ismail ikut telunjuk Bersatu

Ainul Illia

Tak mahu Azmin dilantik TPM, bimbang beri imej buruk kerajaan baharu

KUALA LUMPUR – Terdapat desas-desus mengatakan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO ‘resah’ dengan gerak geri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ini kerana, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO dilaporkan meminta mesyuarat MKT malam ini ditangguhkan sekali lagi kepada Khamis depan, iaitu sehari selepas beliau dijangka mengumumkan Jemaah Menteri pentadbirannya.

Ini bukan kali pertama Ismail Sabri membuat penangguhan, kerana mesyuarat yang dijadualkan Sabtu lalu juga pernah ditangguhkan.  

Tindakan Ahli Parlimen Bera itu dibimbangi akan menyebabkan beliau mengikut telunjuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam menamakan barisan Kabinetnya, kata sumber dalaman UMNO.

FMT melaporkan, antara kebimbangan besar UMNO adalah individu yang disebut-sebut sebagai calon yang dipersetujui oleh Bersatu, untuk diangkat menjadi Timbalan Perdana Menteri ialah Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Kalangan MKT ‘amat bimbang’ Ismail akan mengikut kehendak Bersatu dengan menamakan Azmin Ali sebagai Timbalan Perdana Menteri,” katanya.

Sumber itu berkata, kalangan MKT mahu jawatan nombor dua itu dikosongkan seperti pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dahulu – sebelum Ismail Sabri dilantik menjadi TPM -.

“Jika Ismail bertindak mengikut kehendak Bersatu dan melantik Azmin sebagai timbalannya, MKT bimbang Ismail menjadi Perdana Menteri boneka ‘seperti lembu dicucuk hidung’ parti pimpinan Muhyiddin itu,” katanya sambil menyatakan bahawa lantikan itu hanya akan membawa imej buruk kepada kerajaan baharu di bawah Ismail Sabri.

Ia sekali gus akan membuat UMNO sekali lagi terpalit dengan imej ‘Kerajaan Gagal’ di bawah Muhyiddin.

Bukan itu sahaja, kalangan MKT dan ketua Bahagian UMNO juga dilaporkan tidak mahu Ismail Sabti melantik beberapa pemimpin parti yang disifatkan ‘kontroversi’ dengan pendirian tertentu yang diambil mereka sebelum ini dalam hubungan antara UMNO dan Bersatu.

Antara yang dinamakan ialah Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Datuk Seri Ismail Mohamed Said.

Tiada ulasan: