HALAMAN SANTAI

Rabu, 25 Ogos 2021

Muhyiddin PM terbaik sanggup korban jawatan tolak kleptokrat


Ahli Parlimen Saratok, Datuk Ali Biju menegaskan Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah antara Perdana Menteri (PM) terbaik pernah dimiliki Malaysia, malah sanggup mengorbankan tugas demi mempertahankan prinsipnya.

Menolak tuduhan bekas Timbalan Presiden PKR Syed Husin Ali bahawa Muhyiddin adalah PM ‘terburuk’, beliau berkata, Muhyiddin sanggup berkorban jawatan daripada berkompromi dengan kumpulan kleptokrat.

“Beliau (Muhyiddin) sanggup mengorbankan kedudukan sebagai PM daripada menyerahkan kepada kleptokrat atau campur tangan urusan mahkamah.

“Jauh sekali untuk menjadi PM yang gagal, beliau malahan meletakkan satu standard pada tingkah laku sebagai Perdana Menteri,” katanya menerusi kenyataan, hari ini mengulas mengenai dakwaan Syed Husin yang menyatakan bahawa sejarah tidak akan menilai Muhyiddin sebagai PM.

Ali Biju berkata beliau tidak terkejut dengan serangan Syed Husin kepada Muhyiddin kerana dia (Syed Husin) telah lama menjadi pemimpin PKR dan merupakan penyokong tegar kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ia adalah demi kepentingan politik pembangkang dan penyokongnya untuk menunjukkan penyalahgunaan terhadap Muhyiddin tetapi sejarah akan menilai beliau dengan cara berbeza,” katanya.

Selain itu kata beliau Syed Husin menyalahkan Muhyiddin kerana tidak ‘memiliki cukup majoriti’ apabila Pakatan Harapan (PH) bersama-sama dengan kumpulan kleptokrat mengancam majoriti Muhyiddin semasa negara berdepan dengan krisis kesihatan.

“Jangan kita lupa, Muhyiddin merupakan satu-satunya Perdana Menteri menawarkan tujuh perkara untuk pembaharuan dalam landskap politik negara,” katanya mengingatkan mengenai tawaran bipartisan yang dibuat Muhyiddin, tetapi ditolak mentah-mentah oleh pembangkang.

Namun, kini blok pembangkang hilang kewarasan apabila menggesa supaya PM baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melaksanakan tawaran yang ditolak itu.

Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan semalam mendesak beberapa perkara yang dilihat sama dengan tawaran dibuat oleh Muhyiddin kepada mereka tetapi ditolak kerana terlalu percayakan Anwar akan mendapat sokongan majoriti menjadi PM ke-9.

PH sebelum ini menolak tawaran tersebut kerana terpengaruh dengan penipuan Presiden PKR itu yang mendakwa kononnya memiliki majoriti untuk menjadi PM.

Bagaimanapun, Anwar gagal mendapatkan majoriti yang diperlukan untuk menjadi PM sebaliknya Ismail Sabri mengatasinya dengan jumlah 114 menyokongnya.

Susulan itu, penyokong pembangkang menyalahkan Anwar dan pemimpin pembangkang kerana bertindak menolak tawaran awal oleh Muhyiddin serta menjadi punca UMNO kembali dominan menguasai pentadbiran Kerajaan Pusat.

Tiada ulasan: