HALAMAN SANTAI

Sabtu, 21 Ogos 2021

Pelantikan Ismail Sabri cabaran pembangkang hadapi PRU-15 – Anwar

Wartawan MalaysiaGazette
MGF08032021_KEMPEN-COMMUNITY-ALERT-2
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Pihak pembangkang menganggap pelantikan Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan cabaran untuk bekerja lebih gigih lagi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihati semua pimpinan, anggota dan pendukung parti untuk menerima keputusan itu dengan kecekalan yang jitu untuk bekerja lebih gigih menuju PRU-15.

Ia perlu agar dapat memenangi semula mandat rakyat yang telah kita terima pada pilihan raya umum yang lalu.

“Dengan penuh takzimnya saya mewakili pembangkang keseluruhannya menjunjung kasih ke atas titah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di atas pelantikan Datuk  Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.

“Kami mengambil maklum bahawa keputusan ini dibuat menurut lunas-lunas Perlembagaan, demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang kita amalkan,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Anwar juga mengajak rakyat bersama-sama berdoa dan berusaha supaya krisis wabak Covid-19 dan ekonomi segera diatasi dan ditangani demi rakyat.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan: