KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah
menerima lebih daripada 20 laporan polis di seluruh negara daripada
orang ramai bagi membantah penganjuran perhimpunan “Keluar dan #Lawan”
yang diadakan di sini, semalam.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri
Acryl Sani Abdullah Sani berkata, PDRM sebelum ini telah beberapa kali
memberi peringatan supaya semua pihak mematuhi prosedur operasi standard
(SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) demi keselamatan orang ramai serta
menyatakan pendirian bahawa tindakan tegas akan diambil ke atas
mana-mana pihak yang sengaja melanggar SOP.
Oleh yang demikian, ujarnya sikap penganjur dan peserta yang berdegil untuk mengadakan perhimpunan walaupun telah diberikan nasihat agar mengutamakan keselamatan kesihatan merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab, lebih-lebih lagi dalam situasi semasa ketika penularan wabak Covid-19 yang memerlukan kerjasama semua untuk dibendung.
Menurutnya, pemantauan PDRM semasa perhimpunan berkenaan telah mengesan insiden-insiden di mana penganjur dan peserta perhimpunan secara jelas telah melanggar syarat-syarat SOP PPN serta Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 yang sedang berkuat kuasa.
Katanya, polis telah memulakan siasatan ke atas penganjur dan peserta perhimpunan berkenaan di bawah peruntukan Akta 342 dan akta-akta lain yang relevan.
“Setakat ini, 29 individu telah dikenal pasti dan akan dipanggil untuk melengkapkan kertas siasatan, manakala beberapa individu lain masih dalam proses dikenal pasti daripada rakaman video dan gambar,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya lagi, kesemua individu yang terlibat diminta memberikan kerjasama dalam siasatan penganjuran perhimpunan tersebut. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan