HALAMAN SANTAI

Isnin, 2 Ogos 2021

Siapa Sahfri memandai cakap sebagai wakil MP BN? Dia MP ke? soal Nazri


Bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Nazri Aziz.

Setiausaha Eksekutif Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz tidak layak bercakap sebagai wakil kepada Ahli-Ahli Parlimen (MP) BN, tempelak Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz.

Sahfri sebelum ini mendakwa surat sokongan 40 MP BN tidak benar, ia bagaimanapun disahkan ketulenannya oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini dan juga diakui oleh Nazri sendiri sebagai surat yang sah.

Nazri membidas Sahfri tidak layak untuk bercakap bagi pihak MP BN, malah beliau bukan MP yang dipilih oleh rakyat dan tidak berhak untuk bersuara.

“Mohamad Sahfri ini siapa? Beliau ahli Parlimenkah? Bagaimana beliau boleh bercakap bagi pihak Ahli-ahli Parlimen BN?

“Semua ahli Parlimen BN bersetuju melantik Ismail Sabri sebagai ketua whip kita di Parlimen. Jadi beliau berhak untuk menggunakan lambang BN bagi menyatakan perkara sebenar yang telah berlaku,” kata Nazri menurut laporan Awani.

Jelas Nazri, memandangkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi didapati positif Covid-19 dan tidak dapat hadir ke Parlimen, tempatnya digantikan Ismail Sabri sebagai wakil kepada MP BN di Parlimen.

“Memandangkan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi positif Covid-19 dan terpaksa kuarantin di rumah, maka Ismail Sabri merupakan wakil ahli Parlimen BN bagi membuat keputusan penting sebegini.

“Takkan kerana Zahid tiada, maka keputusan tidak boleh dibuat? Jadi Mohd Sahfri tidak ada hak bagi menafikan sokongan kami,” kata Nazri lagi.

Pada Khamis, satu kenyataan yang menyatakan pendirian 40 MP BN menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dikeluarkan.

Kenyataan itu ditandatangani Ismail Sabri, yang mempengerusikan mesyuarat melibatkan 40 MP BN, yang secara konsensus menyokong kerajaan PN diterajui Muhyiddin.

Tiada ulasan: