HALAMAN SANTAI

Isnin, 2 Ogos 2021

Takiyuddin masuk hospital, selamat jalani rawatan jantung

Takiyuddin Hassan dilaporkan dimasukkan ke sebuah hospital bagi menjalani 
pemeriksaan jantung.

PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Takiyuddin Hassan selamat menjalani rawatan untuk memasang ‘stent’ di saluran jantungnya.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengesahkan Takiyuddin dirawat di Pusat Perubatan IHEAL, Kuala Lumpur.

“Saya baru menghubungi Takiyuddin Hassan pagi ini. Alhamdulillah beliau telah selamat menjalani pemeriksaan dan beliau memaklumkan doktor telah siap memasang ‘stent’ di saluran yang tersumbat.

“Alhamdulillah semua berjalan lancar dan (beliau) dijangka akan keluar dalam sehari dua ini. Teruskan doa agar beliau cepat sembuh sepenuhnya,” katanya di Facebooknya.

Minggu lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan yang dibuat di Parlimen pada 26 Julai bahawa kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat walhal ia belum lagi diperkenan baginda, kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin.

Dalam kenyataan Fadil berkata, Agong menegaskan kenyataan Takiyuddin pada 26 Julai lalu adalah tidak tepat dan mengelirukan ahli Dewan Rakyat.

Sebelum itu, Takiyuddin berkata, kerajaan memutuskan tidak akan menasihati Agong untuk menyambung Proklamasi Darurat yang akan tamat pada 1 Ogos.

Takiyuddin berkata, kerajaan juga memutuskan berdasarkan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, semua ordinan yang telah dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat dibatalkan.

Tiada ulasan: