Astro Awani

Mohamad
berkata, formula yang telah dipersetujui sebelum ini masih lagi kekal
iaitu mana-mana parti yang telah memenangi sesuatu kerusi akan kekal
bertanding di kawasan yang sama pada PRU15. - Gambar fail
KUALA LUMPUR:
Rundingan pembahagian kerusi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) antara
UMNO dan Pas kini sudah mencapai tahap 70 peratus, kata Timbalan
Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Menurut
Mohamad, kata sepakat antara UMNO dan Pas dipersetujui menerusi siri
mesyuarat Muafakat Nasional (MN) yang telah diadakan di antara kedua-dua
parti itu sebelum ini.
Beliau
berkata, menerusi persefahaman itu, formula yang telah dipersetujui
sebelum ini masih lagi kekal iaitu mana-mana parti yang telah memenangi
sesuatu kerusi akan kekal bertanding di kawasan yang sama pada PRU15.
“Memang
setiap kali bermesyuarat, kita berbincang berkenaan tentang persiapan
kita menghadapi PRU15, cara mana untuk hadapinya bahkan di peringkat MN,
kita juga ada jawatankuasa pembahagian kerusi.
“UMNO
dan Pas telahpun bermesyuarat banyak kali dan persefahaman hampir 70
peratus telahpun ada, cumanya seperti yang saya kata, kerusi yang menang
kita punya, kerusi yang Pas menang, adalah Pas punya.
“Formulanya
masih sama, tidak timbul soal untuk kita ubah atau keluar daripada
formula yang telah kita persetujui melainkan kalau ada perkara-perkara
yang tidak boleh untuk bersetuju lagi, itu lain cerita,” katanya seperti
dilaporkan Utusan Malaysia.
Beliau
yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berkata demikian
ketika ditemui pemberita di lobi DUN Negeri Sembilan selepas menghadiri
Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Keempat DUN Negeri Sembilan Yang
Ke-14 pada Jumaat.
Sementara itu,
Mohamad mengesahkan mesyuarat MN akan diadakan dalam masa terdekat
selepas beberapa kali ia ditangguhkan akibat pelaksanaan Perintah
Kawalan Pergerakan (PKP).
Ujar beliau,
walaupun mesyuarat di antara UMNO dan Pas tidak dapat dilaksanakan
sebelum ini, namun semangat MN masih lagi beliau sifatkan sebagai utuh
dan subur.
“Saya dan Datuk Seri Tuan
Ibrahim Tuan Man (Timbalan Presiden Pas) adalah Pengerusi Bersama MN
Peringkat Kebangsaan, kami selalu berhubung walaupun tanpa ada mesyuarat
secara formal, kerana semangat MN itu masih subur lagi.
“MN ini masih lagi kuat, belum ada apa-apa keputusan yang selain daripada apa yang telah kita buat selama ini.
“Cumanya
mesyuarat ini tidak dapat dilaksanakan kerana PKP, jadi Insya-Allah
apabila sudah dilonggarkan sedikit, bolehlah kami bermesyuarat,” katanya
lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan