HALAMAN SANTAI

Jumaat, 22 Ogos 2008

Juruterbang pelatih terbunuh pesawat ringan terhempas
MSTAR ONLINE


SETIU: Seorang juruterbang pelatih terbunuh manakala seorang lagi cedera parah setelah pesawat ringan yang mereka gunakan dalam latihan penerbangan terhempas di hutan Lembah Bidong, dekat sini, petang semalam.

Pemangku Ketua Polis Terengganu Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata yang terbunuh dalam kejadian kira-kira 4.40 petang itu ialah Mohd Arif Ahmad Fuad, 20, dari Subang Jaya, Selangor, manakala rakannya Mohd Farid Abdullah, 21, dari Sungai Buloh, juga dari Selangor, cedera parah.

Beliau berkata pasukan mencari dan menyelamat menemui bangkai pesawat itu, yang dilaporkan hilang sejak petang semalam itu, kira-kira 7.15 pagi ini.

Ketika ditemui, Mohd Arif sudahpun meninggal dunia di tempat duduk pesawat yang berkecai itu manakala Mohd Farid ditemui lapan meter dari pesawat jenis Diamond 40 MAHA 443 itu.

"Mohd Farid berada dalam keadaan terduduk dalam semak berhampiran kawasan kejadian," katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.

Pesawat ringan dua tempat duduk itu dari Sekolah Latihan Penerbangan HM AeroSpace memulakan latihan penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Terengganu petang semalam, sebelum terputus hubungan dengan menara kawalan.

Ketika itu, pesawat berkenaan dikatakan berada dalam jarak 11 kilometer dari lapangan terbang itu.

Jalaluddin berkata polis yang menerima maklumat mengenai kehilangan pesawat itu pada 4.40 petang semalam telah menubuhkan satu pasukan mencari dan menyelamat diketuai Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Zamri Shamsuddin.

Katanya operasi yang melibatkan seramai 14 pegawai dan 118 anggota polis dengan dibantu anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Pertahanan Awam serta penduduk kampung, bermula 6 petang semalam. BERNAMA

Tiada ulasan: