HALAMAN SANTAI

Isnin, 11 Ogos 2008

(Dikemas kini)

Susulan bantah forum Majlis Peguam, lagi syor pinda akta selesai isu tukar agama
Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ dan LEE YAN XIU


KUALA LUMPUR: Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, Kerajaan Persekutuan perlu segera mengadakan mesyuarat jawatankuasa bersama peguam-peguam Sivil dan Syariah bagi menyelesaikan isu-isu pertukaran agama dan peraturan mengenainya.

Beliau berkata, jawatankuasa itu perlu segera berbincang dan mencadangkan langkah-langkah yang perlu digubal, menjelaskan dan memperbaiki prosedur berhubung perkahwinan antara seorang Islam dan bukan Islam, pertukaran, penjagaan anak dan urusan pengebumian selepas seseorang yang bertukar agama meninggal dunia.

Isu-isu seumpamanya yang dibiarkan tergantung tanpa saling difahami dengan baik akan terus menghantui masyarakat berbilang kaum dan berlainan agama di Malaysia, kata beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

-------------------------------------------------------------------

MAJLIS PEGUAM BERDEGIL - NAJIB


KUALA LUMPUR:
Kedegilan Majlis Peguam meneruskan forum awam "Memeluk Islam" menjadi punca timbulnya reaksi daripada kumpulan tertentu yang sekali gus boleh menggugat keharmonian negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, reaksi seumpamanya memang dijangka setelah badan profesional guaman itu terus membelakangkan nasihat supaya membatalkan forum berkenaan.

"Saya sudah kata jangan dibuat (forum) secara terbuka kerana tentu berlaku reaksi daripada kumpulan lain, tetapi mereka (Majlis Peguam) berdegil, perkara seperti ini memang sensitif dan kita sudah menjangka ini akan berlaku," katanya selepas merasmikan Pameran dan Konvesnyen Hartanah Bumiputera 2008 hari ini.

-------------------------------------------------------------------

Dalam pada itu, bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Prof. Mehrun Siraj menyarankan agar kerajaan meminda undang-undang bagi menyediakan peruntukan penyelesaian pertikaian mualaf dan pasangannya bukan Islam di Mahkamah Sivil.

Bercakap kepada pemberita selepas forum bertajuk Memeluk Islam: Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan Menjejak Semula Subashini & Sharmala anjuran Majlis Peguam dihentikan ekoran bantahan NGO dan pemimpin politik Islam, Mehrun berkata, langkah itu perlu untuk memberi peluang kepada orang yang memeluk agama Islam menyelesaikan isu penceraian mereka menerusi undang-undang Mahkamah Sivil.

“Sebelum ini penceraian antara mualaf dan pasangannya yang bukan Islam perlu dibawa ke Mahkamah Syariah... dengan ini pasangan yang bukan Islam itu akan rasa haknya terjejas,” ujar beliau.

Kata beliau, "jika bukan Islam hendak memeluk Islam,. kita perlu terima mereka... tetapi selesaikan masalah perkahwinan mereka sebagai bukan Islam sebelum itu."

"Berikan hak kepada bekas isteri (bukan Islam) menuntut harta sepencarian, bayaran nafkah dan hak penjagaan anak," kata beliau yang juga Profesor Adjung Kuliyah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Menurut Mehrun, ini bukan isu agama tetapi isu undang-undang maka undang-undang boleh dipinda demi kebaikan dan kepentingan semua pihak.

“Dari segi Islam, jika kita terangkan kepada orang yang bukan Islam maka mereka tidak rasa takut ataupun khuatir dan mereka akan faham.

“Akan tetapi tindakan beberapa orang yang datang untuk menghentikan forum tadi (semalam) dengan cara yang ganas... ini akan menyebabkan orang lain beranggapan itulah sikap dan cara orang Islam,” kata Mehrun.

“Cara protes, demostrasi, dan menjerit... itu bukan cara Islam,” kata Mehrun lagi.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan Alumni Kelab Umno Luar Negara, Nazari Ahmad yang juga salah seorang peserta memberitahu, beliau tidak setuju dengan forum ini diadakan.

"Secara peribadi saya memang bantah forum yang membincangkan soal-soal isu dengan terbuka," kata beliau yang mengakui bahawa hanya datang untuk mendengar apa yang dibincangkan.

Mengenai pandangannya selepas beliau mendengar forum selama sejam, Nazari berkata: "Ada kebaikan dan ada keburukannya tetapi saya tetap dengan pendirian saya membantah forum sebegini diadakan."

Tiada ulasan: