ROSLAN SMS
Umno baru sahaja ditolak oleh rakyat dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu. Kebencian dan kebosanan rakyat terhadap tindak-tanduk dan pendekatan mereka sehingga mengakibatkan mereka ditolak terang-terangan begitu sahaja sewajarnya dikaji dan diteliti oleh bijak-pandai mereka. Itupun kalau mereka mahu terus wujud dalam arus perdana politik negara.
Tetapi tidak, rupanya mereka tidak pernah serik-serik dan seakan mengundang bala yang lebih besar dan terus bakal dihukum rakyat. Terbaru Menteri di JPM Zahid Hamidi mengeluarkan suatu arahan yang bagi saya sangat cetek dan pasti menerima reaksi negatif dari rakyat jelata. Daripada Ipoh MStar melaporkan:
Semua pengarah jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan dilarang daripada menghadiri mesyuarat-mesyuarat di peringkat negeri berkuat kuasa serta-merta. Hanya pengarah agensi peringkat negeri yang dibenarkan menghadiri mesyuarat negeri, yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri atau pegawai daerah.
Dan negeri-negeri yang dimaksudkan itu tidak lain melainkan negeri-negeri Pakatan Rakyat iaitu Kedah, Perak, Pualu Pinang, Selangor dan Kelantan. Zahid menambah:
Kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan disiplin terhadap pengarah agensi Persekutuan jika mereka menghadiri mesyuarat tersebut.
Jelas kerajaan BN Pusat bertanggungjawab terus dalam memecahbelahkan perpaduan rakyat dan berpolitik sehingga mewujudkan kerajaan dalam kerajaan sekaligus mempersetankan sistem federalisma yang kita dukung selama ini. Sikap BN ini akan mengakibatkan terbantut dan terganggu hubungan Pusat dan negeri khasnya di lima-lima buah negeri ini. Baru beberapa hari lepas DYMM Sultan Kedah dalam titah Tuanku memuji hubungan baik antara negeri Baginda dengan kerajaan Pusat!
Mengapa kita tidak boleh bersatu dalam hal-hal kepentingan negeri dan negara walaupun kita berbeza fahaman politik? Tidakkah kita boleh insaf dan ambil iktibar dari betapa ruginya rakyat di bumi Palestin apabila Fatah dan Hamas tidak boleh bersatu demi negara Palestin?!
Mesej dari Kuala Terengganu saya yakin begitu jelas buat semua. Tetapi sikap Zahid ini membuktikan yang mereka tetap terus angkuh dan sanggup mencabar kesabaran rakyat. Kesimpulannya bersedialah untuk menerima bahana kemarahan rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan