Saidah Hairan
KUALA LUMPUR - Ketua Muslimat PAS Negeri Selangor, Wan Hasrina Hasan menyokong tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Seri Abdul Khalid Ibrahim yang akan mengawal peruntukan wakil rakyat berpandukan kepada prestasi masing-masing.
Ini berikutan kata beliau, pengawalan peruntukan itu memang wajar dilakukan memandangkan terdapat laporan yang mendakwa ada Adun yang sukar untuk memberi kerjasama kepada Ahli Majlis (PBT).
Beliau yang juga Ahli Majlis Tempatan Ampang Jaya berkata, duit peruntukan itu adalah untuk kegunaan rakyat jika Adun tidak menjalankan aktiviti atau menjaga kepentingan masyarakat apa perlu diberi peruntukan tersebut.
Katanya, Menteri Besar mahu semua Adun dan Ahli Parlimen mesti berkerjasama dengan Ahli Majlis untuk memberikan khidmat yang baik terhadap rakyat.
"Beliau (MB) tidak mahu ada Adun sahaja yang buat kerja atau Ahli Majlis saja yang bekerja tetapi mereka mesti saling bekerjasama," tegasnya.
Sebab itu tambah beliau jika Adun tidak menunjukkan prestasi yang baik untuk berkhidmat terhadap masyarakat tidak ada guna memberi peruntukan lebih baik sekat sahaja.
Dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Menteri Besar bersama pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Shah Alam semalam, beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM450,000 kepada setiap Adun akan dikawal.
Sehubungan itu Hasrina berkata, tindakan Menteri Besar itu disebabkan ada laporan yang mendakwa ahli PBT sukar untuk mendapatkan kerjasama daripada Adun dan perkara itu tidak sepatutnya berlaku.
Bagaimanapun katanya, Menteri Besar akan menghantar pegawai untuk menyiasat perkara tersebut jika ada laporan yang mendakwa Adun sukar untuk bekerjasama dengan ahli PBT._SH _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan