HALAMAN SANTAI

Jumaat, 23 Januari 2009

Era ketuanan Umno sudah berlalu - Fairuz

Muhammad Yusri Amin


KOTA BHARU - Umno sepatutnya mengambil pengajaran pilihan raya kecil Permatang Pauh dan Kuala Terengganu sebelum mendabik dada menyatakan parti itu masih lagi mendapat sokongan majoriti rakyat.

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohamad Fairuz Khairuddin berkata, menjelang pilihan raya kecil Permatang Pauh dan Kuala Terengganu pemimpin Umno mendabik dada kononnya dapat merampas kerusi tersebut.

"Mereka kata akan menang bergaya, namun akhirnya mereka kalah bergaya.

"Janganlah kita berterusan menunjukkan angkuh dengan kenyataan kosong begitu," katanya selepas melawat Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) di Nilam Puri dekat sini, baru-baru ini.

Menurutnya sejak pilihan raya umum 8 Mac tahun lalu, nampaknya Umno belum mampu untuk memulihkan keadaan biar pun bermacam usaha telah dilakukan termasuk rebranding.

Katanya, rakyat sekarang tidak lagi jahil kerana mereka sentiasa memerhatikan setiap perkembangan politik yang berlaku di negara ini.

Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak mendakwa calon Barisan Nasional (BN), Dato' Wan Farid Wan Ahmad yakin menang pada pilihan raya tersebut.

Beliau juga berkata, ramai pemimpin Pakatan Rakyat Pulau Pinang datang membantu jentera PAS di Terengganu baru-baru ini.

Menurutnya juga isu ketuanan Melayu hanya dicanang Umno setelah mereka kehilangan kuasa majoriti di parlimen pada pilihan raya umum lalu.

Sebaliknya kalau mereka masih menang besar, isu ketuanan Melayu tidak akan disentuh seperti sekarang.

"Bila dah nampak agak kritikal, kalah teruk dalam pilihan raya umum lalu, barulah dia akan sebut perpaduan Melayu.

"Soal ketuanan Melayu tidak lagi relevan, bahkan yang kita sebut ketuanan rakyat," katanya. - mj _

Tiada ulasan: