HALAMAN SANTAI

Khamis, 22 Januari 2009

UIAM langsungkan pemilihan kampus hari ini

Oleh ARIFUDDIN ISHAK


PETALING JAYA: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), menjadi penutup kepada kehangatan pilihan raya kampus sesi pengajian 2008-2009 dengan muncul sebagai pusat pengajian tinggi mengadakan pengundian memilih barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang baru hari ini.

Kumpulan pro-Mahasiswa yang mengusai UIAM berusaha untuk mengekalkan pengusaan mereka pada pemilihan penggal ini.

Bekas Yang Dipertua MPPUIAM, Muhammad Adib Hatim berkata, sepanjang tempoh tiga hari berkempen, kumpulan pro-Mahasiswa berusaha sebaik mungkin untuk memastikan calon-calon mereka terus diterima dalam pemilihan kali ini.

"Kami sudah lakukan yang terbaik sepanjang tempoh ini (berkempen), dan kami harapkan pro-Mahasiswa akan terus menungguli pilihan raya ini," katanya kepada mStar Online.

Pada pemilihan kali ini UIAM mempertandingkan 29 kerusi secara keseluruhannya berbanding 27 kerusi pada penggal lalu.

Pertambahan dua lagi kerusi itu berlaku apabila Fakulti Pergigian di kampus UIAM Kuantan mula beroperasi pada penggal ini.

Bagi kerusi antarabangsa, jumlahnya masih kekal dengan lima kerusi - pecahan empat di Gombak dan satu di Kuantan.

Bagi kerusi fakulti untuk kampus Gombak dan Kuantan, masing-masing menawarkan sebanyak 12 kerusi menjadikan jumlah keseluruhannya ialah 24 kerusi.

Tambah Muhammad Adib, pro-Mahasiswa meletakkan semua calonnya di kesemua kerusi yang dipertandingkan.

Proses pengundian dibuka pada pukul 9 pagi dan akan berakhir 5 petang ini.

Tiada ulasan: